‘Pemimpin yang dulu bangkang syor mansuh hukuman mati kini terpaksa telan ludah sendiri’*



By FAZLI RADZI / June, 2022



Semua pemimpin politik yang sebelum ini membangkang syor pemansuhan hukuman mati semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menelan ludah mereka sendiri.


Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata demikian menerusi kenyataan hari ini mengulas keputusan kerajaan pada 8 Jun lalu untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.


*Pengerusi KANUN, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, pemimpin politik terbabit juga mengakui bahawa Janji 27 Buku Harapan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori adalah sesuatu yang benar.*


“Usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ini telah diketuai oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) PH pada ketika itu iaitu Mendiang Dato’ V.K. Liew.


*“Malah, pada waktu itu semua hukuman mati yang telah dijatuhkan juga diberikan moratorium perlaksanaan,” katanya.*


Walau bagaimanapun, kata Dr. Zulqarnain, usaha kerajaan PH pada ketika itu mendapat tentangan sebahagian daripada masyarakat termasuk parti yang menjadi kerajaan sekarang iaitu daripada Presiden Pas sendiri.


*Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian pada 16 Oktober 2018.*


“Begitu juga, Presiden MCA sekarang pun pernah mengatakan bahawa cadangan pemansuhan hukuman mati ini telah dibuat secara tergesa-gesa dan sepatutnya usaha pemansuhan tol lebih diutamakan,” katanya.


Dalam masa sama, KANUN juga, ujarnya, menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan hukuman gantian berbentuk pampasan atau diyat (hukuman gantian dalam Islam) ke dalam sistem undang-undang keadilan jenayah sivil sekarang.


“Konsep undang-undang diyat Islam bukanlah berbentuk diskriminasi kerana jika seorang penjenayah itu kaya sekali pun dia tidak boleh menebus hukumannya dan membayar diyat melainkan dengan persetujuan keluarga mangsa terlebih dahulu.


“Tambahan lagi, sistem Islam juga menggalakkan keluarga mangsa untuk memberikan kemaafan tanpa syarat,” katanya.


Dalam hal ini, jelas Dr. Zulqarnain, jika keluarga penjenayah adalah tidak berkemampuan maka banyak jalan lain boleh diambil seperti memanfaatkan sistem pendanaan khalayak (crowdfunding) bagi menebus hukuman itu.


“Melihat kepada tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini berkaitan hukuman mati mandatori, KANUN yakin bahawa sekiranya kerajaan PH bertahan sehingga akhir penggal nescaya banyak lagi pembaharuan politik, sosial dan ekonomi khasnya yang dinyatakan dalam Buku Harapan akan menjadi kenyataan.


“KANUN berharap rakyat Malaysia tidak berputus asa untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik pada masa hadapan dan memilih PH sebagai kerajaan dalam PRU-15 kelak supaya negara Malaysia akan ditadbir dengan lebih telus dan berintegriti,” tambahnya lagi.


No comments: