Muktamad! DAP tak bina kerjasama dengan ‘pengkhianat’ untuk PRU15, kata Guan Eng
PETALING JAYA: DAP enggan berganjak daripada pendiriannya menolak sebarang cadangan untuk bekerjasama dengan parti atau individu yang pengkhianatannya terhadap Pakatan Harapan (PH) mengakibatkan kejatuhan gabungan itu daripada tampuk pemerintahan pada 2020.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, tiada apa-apa yang akan menganjak parti itu daripada kedudukannya walaupun beliau difahamkan sesetengah pihak percaya semua parti pembangkang perlu bekerjasama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang (PRU15)
“Kami tidak akan mengambil pendekatan menang walau dengan apa cara sekalipun, yang bermaksud bekerjasama dengan orang yang tiada rasa bersalah atau keadilan apabila mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton,” katanya kepada FMT.
“Bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan individu yang bekerjasama dengan Najib Razak untuk menumbangkan kerajaan PH? Ia seolah-olah bekerjasama dengan BN.”
Selasa lepas, penganalisis Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, PH tiada pilihan selain bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memastikan kemenangan pada PRU15.
Lim berkata, ramai penyokong DAP tidak akan dapat menerima idea PH bekerjasama dengan pemimpin pembangkang tertentu, terutamanya yang merancang Langkah Sheraton atas hujah perkauman dan agama.
“Pemimpin-pemimpin ini mampu menggunakan alasan yang sama jika timbul keperluan untuk terus berkuasa selepas PRU15. Mustahil untuk bekerjasama dengan mereka lagi,” katanya.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan Azmi bahawa adalah PH akan “membunuh diri dari segi politik” jika melawan BN dan Perikatan Nasional pada masa yang sama, beliau berkata: “Kami mengambil pendirian menentang politik khianat.
“Kami bersedia untuk berdepan akibat tidak mengorbankan integriti dan prinsip kami dalam perkara ini.”