ALAMAK…MAHIADDIN, SHAFIE APDAL, ANIFAH AMAN & REEZAL MERICAN PUN TERIMA DUIT?

 


Seorang bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal menerima dana daripada syarikat itu.

David Tan berkata, Muhyiddin menerima RM1.3 juta antara Jun dan Ogos 2018.

Semalam, Tan memberitahu mahkamah, beliau menyimpan lejar bayaran yang dibuat kepada Zahid antara 2014 hingga 2018. Katanya, nama dalam lejar itu terdiri daripada “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh hari ini, Tan berkata, nama Muhyiddin, Shafie, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican turut dicatatkan dalam lejar itu di bawah nama kod.

Tetapi, Tan tidak mendedahkan jumlah wang yang dibayar kepada Shafie, Anifah dan Reezal Merican, atau kod nama mereka.

Ketika itu, Muhyiddin ialah menteri dalam negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, manakala Shafie ialah ketua menteri Sabah.

Reezal Merican kini ialah menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

UKSB adalah syarikat yang mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) untuk pelancong China. Mereka dilantik oleh kerajaan pada 2016.

Syarikat itu terbabit dalam pertuduhan rasuah Zahid, dengan bekas timbalan perdana menteri itu dibicarakan atas 33 tuduhan rasuah.

Semalam, Tan dilaporkan berkata, nama “monster”, “young boy” dan “yb” dalam lejar syarikat itu merujuk Zahid.

“Sebab saya menggunakan nama kod ‘monster’ adalah kerana semasa saya memasukkan lejar, saya sedang makan snek Mamee Monster,” kata Tan.

Saksi pendakwaan itu berkata, komputer riba yang mengandungi lejar bayaran itu dan pemacu pena USB yang mempunyai salinan lejar itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Oktober 2018.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan bekas pengarah UKSB, Harry Tan dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang berkata, syarikat itu membuat bayaran tunai berjuta-juta dolar Singapura kepada Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak VLN.

Wan Quoris dilaporkan berkata, bantuan kewangan kepada Zahid itu bertujuan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri.

Dengan bantuan itu, katanya, UKSB bukan sahaja mendapat sokongan bekas timbalan perdana menteri itu, tetapi juga berjaya mengurangkan gangguan saingan daripada syarikat lain yang menjalankan perniagaan sama.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Yazid Mustafa pada 26 Julai ini.




No comments: