Barang melambung, gaji rendah, BN perlu dikalahkan
Inflasi atau kenaikan melampau harga barang dijangka akan lebih menekan rakyat Malaysia pada beberapa bulan akan datang.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, inflasi kali ini bakal menghakis dengan teruknya kuasa beli rakyat kerana kenaikan harga tidak sebagaimana pada dekad dekad sebelumnya, hanya berlaku kepada produk tertentu dan rakyat mempunyai pilihan untuk menggunakan produk lain.
“Inflasi harga barang bukan naik (ke atas) 10 jenis barang tetapi berpuluh puluh jenis dan telah diakui oleh Jabatan Statistik atau perangkawan yang menyatakan inflasi sedang naik
“Kita faham inflasi naik selepas pandemik Covid 19 dan perang Rusia – Ukraine menyebabkan harga barang juga naik di negara lain
“Tetapi apa langkah kerajaan mengurangkan beban? Rakyat kita terjejas. Ini dicerminkan dengan naiknya harga daging, ayam, sayur sayuran, makanan. Ertinya semua naik dan dalam masa sama gaji tak naik,” katanya.
Meskipun, kata Hassan, kerajaan telah umumkan kenaikan gaji minimum mulai bulan Mei tetapi kadar upah itu tidak dinikmati oleh semua pekerja dalam memberi tambahan kewangan kepada mereka menghadapi inflasi.
Ujarnya, golongan pekerja tidak formal tidak mendapat kenaikan gaji. Malah pekerja formal juga menghadapi pelbagai alasan daripada majikan menangguhkan kenaikan.
“Ada diumum pada 1 Mei lepas naik gaji minimum RM1,500. Itu langkah baik tetapi seramai 40% pekerja di Malaysia merupakan pekerja tidak formal seperti pengawal keselamatan, pembersih sekolah, pembantu kedai makan dan sebagainya, mereka ini tidak menikmati gaji RM1,500 itu
“Jadi apabila kos sara hidup tinggi, harga barang naik maka golongan rakyat B40 terjejas.
“Malah sekarang oleh kerana kos sara hidup tinggi, golongan sederhana M40 juga banyak merosot tergolong ke kelas bawah B40. Sekarang orang mula sebut B60,” katanya.
Menambah buruk keadaan, kata Hassan, pihak bank pula menaikkan kadar faedah pinjaman (OPR).
Ujarnya bank yang membuat untung pada waktu pandemik Covid 19 mahu bertahan dengan tahap keuntungan pada ketika ini
“Dalam keadaan begini bank terus catat keuntungan. Masa pandemik dia untung, lepas pandemik pun untung. Kemudian bank naikkan kadar OPR dan ini sedikit sebanyak menjejaskan orang yang berhutang dengan mereka, dan menjadikan duit yang ada di tangan untuk dibelanjakan semakin berkurangan,” katanya.
Rakyat, menurut Hassan, hanya ada satu solusi untuk mengatasi kelemahan pemerintahan BN – PN, iaitu dengan melakukan perubahan.
Jelasnya, kerajaan BN – PN ketika ini tidak mempunyai idea bernas untuk mengatasi inflasi malah terus berpaut pada polisi lama yang hanya menguntungkan oligarki pemerintah di tengah tengah kejatuhan nilai matawang.
“Apabila nilai ringgit jatuh dengan sendirinya juga banyak barang yang kita import dari luar melambung. Lebih RM50 bilion kita import makanan misalnya. Bila ringgit jatuh barang makanan jadi mahal.
“Ini menunjukan kegagalan kerajaan yang ada dalam menguruskan ekonomi dan kehidupan rakyat dengan baik. Ini masalah sistem kerajaan
“Ia tidak boleh diselesaikan secara ala kadar tetapi memerlukan perubahan struktur yang serius dalam ekonomi dan kewangan negara,” katanya lagi.