PETALING JAYA: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) anti-lompat parti perlu dilakukan secara berperingkat dan langkah permulaan dengan cara menangani budaya lompat.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, berkata langkah lain termasuk mengambil kira proses untuk mengadakan pilihan raya umum.
“Mulakan dengan menggubal undang-undang mengenai lompat parti yang jelas, kemudian kita perlu melihat prosedur pemilihan semula,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Katanya, RUU anti-lompat parti perlu dijadikan sebagai satu pindaan Perlembagaan yang turut melibatkan ahli Parlimen yang meninggalkan parti selepas menang dalam pilihan raya.
Langkah itu bertujuan menjimatkan masa berikutan proses untuk menjalankan semula pilihan raya yang mengambil masa dan akan menyebabkan kelewatan.
“Langkah paling sesuai adalah memasukkan semua faktor dalam rang undang-undang supaya ia hanya melibatkan satu pindaan Perlembagaan.
“Apa yang menjadi persoalan ialah sama ada kita mampu atau tidak untuk lakukan tepat pada masanya,” katanya.