LANTIK SEGERA SULAIMAN SEBAGAI PENGERUSI UMNO MELAKA

 

Seperti tahun ini tiba-tiba diumumkan hari raya, secara tiba-tiba juga kerajaan negeri Melaka ternampak mula bergelora.

Walaupun ia setakat ini hanya bersifat khabar angin dengan ada yang menafikan dan ada yang mengesahkan, selalunya spekulasi beginilah yang akhirnya menjadi berita yang benar-benar menjadi kenyataan.

Gelora di Melaka ini berpunca tidak lain kerana Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dikatakan sedang dipaksa untuk meletak jawatan kerana ada pemimpin lain bercita-cita mahukan jawatan tersebut.

Jika kita masih ingat, walaupun BN menang cemerlang melebihi dua pertiga dalam PRN Melaka pada November lalu, tetapi majlis angkat sumpah Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka diadakan pada jam 2 pagi.

Ketika itu, Ab Rauf Yusoh yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, tidak hadir dalam majlis angkat sumpah berkenaan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman berkata, beliau tidak menafikan ada paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat pengundurannya.

“Yup, yes (ya). Awak pun tahu ler siapa (dalang),” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terbuka siapa dalang yang dimaksudkannya itu.

Beberapa Ketua UMNO Bahagian yang lain pula berkata, mereka tetap berpegang kepada janji dan persetujuan sebelum ini bahawa Sulaiman akan memegang jawatan Ketua Menteri sehingga habis penggalnya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ali Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dilaporkan berkata, lima Ketua UMNO bahagian di negeri itu sebulat suara mempertahankan Sulaiman sebagai ketua menteri sehingga habis penggal sebagaimana dijanjikan dalam manifesto PRN Melaka.

Apa sebenarnya masalah di Melaka itu dan bagaimana mengatasinya?

Memang diketahui ada orang bercita-cita mahu mengambil alih jawatan yang dipegang Sulaiman, tetapi masalah itu akan terus berbangkit selagi wujud keadaan dua nakhoda dalam satu kapal di negeri tersebut.

Sementara Ketua Menteri Melaka dipegang oleh Sulaiman, sebaliknya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sekarang oleh Ab Rauf yang sekarang merupakan Exco kerajaan negeri di bawah pentadbiran Sulaiman.

Keadaan ini memang nampak tempang dan tidak baik, malah boleh mencetuskan gelora bila-bila masa kerana masing-masing ada ego sebagai ketua dalam portfolio yang berbeza.

Bagi menanganinya, UMNO tidak ada pilihan lain melainkan harus segera melantik Sulaiman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka bagi menggantikan Ab Rauf.

Ab Rauf tidak sesuai lagi dikekalkan mengetuai UMNO kerana beliau hanya Exco dan jawatan Ketua Menteri sudah dipegang oleh Sulaiman.

Semasa jadi pembangkang sebelum ini dan kerajaan negeri ditadbir parti lain, ketika itu bolehlah diterima kedudukan Ab Rauf mengetuai UMNO negeri Melaka.

Ia kini sudah berbeza apabila UMNO telah jadi kerajaan dan perubahan atau rombakan perlu dilakukan bukan saja untuk keharmonian, tetapi juga sesuai dengan konsep parti menguasai kerajaan.

Sebelum ini, di mana-mana negeri yang UMNO berkuasa, itulah yang menjadi amalannya dan ia terbukti dapat memberi keharmonian serta kedamaian.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tidak harus berlengah lagi untuk melakukan rombakan dan mesti melihat masalah ini sebagai keutamaan yang perlu dilakukannya.

Selain Melaka, di Johor juga berlaku masalah satu kapal dua nakhoda di mana Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar, namun jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor masih kekal lagi dipegang oleh Hasni Mohamad, Menteri Besar sebelum ini.

Sebagaimana di Melaka perlu dilakukan perubahan, di Johor juga tidak terkecuali sebagai persediaan awal untuk memastikan tiada sebarang kocakan yang mungkin boleh bertukar gelora pada bila-bila masa. – ShahbudinHusin 09/05/2022..



No comments: