Bernama
Mei 8, 2022
Sulaiman (gambar) akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini. - Gambar fail
MELAKA: Khabar angin yang mendakwa Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, adalah fitnah dan tidak berasas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.
"Pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan lima Ketua UMNO Bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah, telah setuju menjadikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri."Kami berharap Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis tempoh jawatannya iaitu selama lima tahun," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau yang juga ADUN Sungai Udang itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu yang berakhir lewat malam tadi.
Semalam, terdapat dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman telah dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Dalam pada itu, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata UMNO Melaka akan terus menyokong dan mempertahankan Sulaiman daripada diganggu pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.
"Saya berharap mulai hari ini, tidak akan timbul lagi desas-desus yang mengatakan ada orang akan menggantikan Sulaiman seperti mana yang dilaporkan sebelum ini," katanya.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pada 21 Nov tahun lepas, selepas Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.