Debat dengan Rafizi bukan untuk saling serang, kata Saifuddin

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Saifuddin Nasution (duduk, tengah) dalam sidang media selepas
 menghadiri majlis malam muhibah Aidilfitri anjuran PKR Sabah di Kota
 Kinabalu malam tadi.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, debat beliau dengan Naib Presiden, Rafizi Ramli pada Rabu ini bukan bertujuan untuk menyerang satu sama lain.

Sebaliknya beliau berkata, program “Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar” adalah peluang untuk mereka menyampaikan perspektif masing-masing, khasnya mengenai pemilihan parti dan isu politik semasa

Saifuddin dan Rafizi akan merebut jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan ini.

“Walaupun diberi judul siapa layak bersama Anwar (Ibrahim), apa pun tajuknya, saya anggap itu sekadar satu tajuk, tapi saya percaya saya dan rakan saya, saudara Rafizi akan menggunakan peluang itu untuk memberikan perspektif kami.

“Pertama, tentang PKR, kedua tentang maksud pemilihan parti dan yang ketiga, tentu sahaja kami akan mengambil peluang untuk mengulas tentang isu-isu politik semasa tanah air.

“Saya anggap ini sebagai kesempatan terbaik, bukan dalam konteks perdebatan saling menyerang, tetapi platform untuk kami menyampaikan perspektif kami tentang pemilihan parti dan isu politik semasa,” katanya selepas menghadiri majlis malam muhibah Aidilfitri anjuran PKR Sabah di sini, malam tadi.

Sementara itu, Saifuddin menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pertandingan antara beliau dengan Rafizi adalah pertarungan antara proksi.

“Yang berikan tanggapan ini adalah sesetengah pihak di luar parti, mereka menganggap pertarungan antara saya dengan Rafizi sebagai proksi yang mengheret presiden parti (Anwar) sekali.

“Kami menolak tanggapan itu dan itu hanya satu agenda pihak di luar parti untuk memberi makna seolah-olah pemilihan parti, khususnya jawatan timbalan presiden sebagai pertarungan proksi. Saya menolak sekeras-kerasnya.”

Pemilihan PKR julung kali diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi Adil yang diperkenalkan pada 28 Feb lalu.

Proses pengundian secara fizikal akan bermula 13 hingga 17 Mei, disusuli undian dalam talian dari 18 hingga 20 Mei nanti.


No comments: