Politik Johor sangat menarik jika Umno tidak bersama PN
Jika Umno bertanding secara solo tanpa melibatkan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 maka suasana politik Johor akan sangat menarik.
Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, komposisi parti-parti politik di Johor begitu menarik kerana PN mempunyai 29 ADUN dan PH mempunyai 27 ADUN.
Sekiranya Umno tidak bersama PN maka blok terbesar adalah PH, biar pun tidak cukup majoriti membentuk kerajaan.
“Jadi PH mempunyai 27 kerusi. Bagi pihak kerajaan, di dalam keadaan sekarang kena pastikan bahawa sehingga PRU mereka masih bersama 29 ini.
“Tetapi ianya akan berakhir apabila datangnya PRU 15. Sebab kita tahu Umno dalam Perhimpunan Agung mereka mengatakan hubungan dengan Bersatu atau dengan PN hanya setakat PRU 15.
“Jadi akan berlaku pecah dua, dan bilangan Ahli Parlimen Bersatu begitu signifikan kerusi mereka. Jadi kita pun tak tahu apa akan berlaku dalam PRU di Johor nanti. Tetapi suasana amat menarik,” katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan, baru-baru ini.
Keengganan Umno untuk berbahagi kerusi dengan musuh politiknya Bersatu dikatakan menjadi punca parti tersebut bertembung sesama sendiri dalam PRN Melaka.
Berbanding Melaka yang mana Umno mempunyai banyak kubu kuat, situasi di Johor lebih getir berikutan hampir separuh DUN di negeri itu telah pun secara konsisten beralih sokongan kepada PH sejak PRU 2013.