Kita dah dengar retorik rakyat Malaysia memilih kerja ni dah lama. Berdekad lamanya. Bila ambil pekerja asing, inilah alasan yang mereka beri. Tapi betulkah?
Pendapat peribadi aku, cuma separuh betul. Kenapa?
Pertama, kita boleh lihat berapa ramai rakyat kita yang menceburkan diri dalam perniagaan yang susah. Mereka sanggup bekerja bersusah payah.
Ada yang terpaksa bangun awal pagi dan berniaga sampai larut malam. Ada yang sampai bergelumang dengan najis haiwan peliharaan. Ada yang sampai panjat tempat tinggi, gadai nyawa. Kalaulah mereka memilih kerja, mahukah mereka bersusah payah begitu?
Kalau tak meniaga pun, ada juga yang bekerja di stesen minyak. Selalu saja aku jumpa orang kita yang kerja di sana. Kerja ikut lori sampah pun ada. Jadi di mana betulnya tuduhan orang kita tak mahu kerja yang kasar dan kotor?
Kedua, kalau kita lihat ramai saja rakyat asing yang bekerja bukan dalam bidang 3D pun. Pergi stesen minyak, tengok berapa ramai yang bekerja jadi kashier. Takkanlah kerja kashier pun nak dikatakan kerja 3D? Malah ada yang jadi penyelia. Dia pula jadi boss rakyat Malaysia.
Tapi kenapa aku katakan separuh benar?
Sebab ada benarnya orang kita memilih kerja. Tapi bukanlah sebab kerja itu kotor atau kasar. Tapi kerana gaji. Kerja separuh mati tapi gajinya sedikit sangat, sedangkan tauke hidup bermewah. Siapa yang mahu?
Itulah masalahnya! Orang kita nak gaji besar saja. Cubalah terima gaji macam Bangla tu!
Oi brader… Orang kita tak boleh terima gaji macam pekerja asing. Sebab orang kita ada keluarga di sini. Mereka perlu sewa rumah, perlu sekolahkan anak, perlu macam-macam. Hidup orang kita tak sama macam pekerja asing.
Tengok macam Bangla. Mereka hidup satu rumah berbelas orang. Bersesak dalam rumah. Makan setakat apa yang boleh saja. Sebab anak isteri mereka di negara asal. Anak mereka bersekolah di sana. Belanjanya jauh lebih murah. Malah mungkin percuma. Gaji RM1,000 pun mereka boleh survive.
Tapi rakyat Malaysia tak boleh begitu. Mereka berkeluarga di sini. Takkanlah nak tinggal bersesak 10 orang dalam rumah yang sama. Bukan 10 orang tapi 10 keluarga sebab terpaksa bawa anak isteri sekali. Takkanlah begitu?
Anak-anak kena sekolah juga. Sekolah ni, nama saja percuma. Tapi berapa banyak sekolah haram jadah yang kutip yuran PIBG mahal melantun. Sekolah anak aku pun sama. Padahal hampir setahun tak sekolah. Eh mintak yuran jugaaakkkkk!
Di sekolah pun anak kena makan di kantin. Makan di kantin pun bukan murah. Mahalnya Na’uzubillah. Itu belum kira kelengkapan sekolah. Dan banyak lagi beban lain yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia.
Dalam keadaan begitu, macamana rakyat Malaysia mahu terima kerja yang bayarannya murah? Tapi malangnya, yang kerajaan nampak, rakyat memilih kerja. Jadi jalan penyelesaiannya, ambil pekerja asing. Mana selesai masalah!
Kerajaan sepatutnya bantu rakyat. Sepatutnya kerajaan usaha untuk naikkan gaji dengan cara penetapan gaji minimum yang sesuai. Atau paling tidak pun pastikan harga barangan kekal rendah supaya rakyat boleh survive.
Bukan dengan ambil pekerja asing. Bila ambil pekerja asing, yang selesai masalah majikan. Masalah rakyat tak selesai. Bahkan makin bertambah. Akhirnya rakyat sendiri menganggur, pekerja asing pula dijaga.
Kerajaan ini dipilih oleh rakyat atau para majikan dan pekerja asing?
Rakyat memilih kerja hanyalah cerita palsu yang disebarkan oleh majikan bagi membolehkan pekerja asing diimport. Yang bodohnya adalah kerajaan yang percaya. Tapi aku rasa bukan kerajaan tak tahu kebenarannya.
Kerajaan yang pegang segala bentuk data. Tentulah kerajaan tahu apa yang terjadi di bawah ini. Cumanya lebih menguntungkan kalau bantu majikan. Boleh juga dapat duit kocek. Bantu rakyat, kerajaan dapat apa?
Rakyat kita bukan susah sangat pun. Setahun sekali ke dua kali, bagi duit sikit. Sukalah merereka. Dapat RM1,000 setahun, lupalah mereka hak mereka yang dirampas oleh kerajaan yang berkali ganda nilainya. Bodoh, kan?
Kalau nak selesaikan masalah ini, semua rakyat mesti bersatu hati. Pertama, kerajaan sampah yang bodoh bebal tak faham penderitaan rakyat ini mesti diturunkan dan jangan beri peluang untuk dapat kuasa lagi.
Kedua, sebolehnya elakkan berurusan dengan syarikat yang utamakan pendatang asing. Cari syarikat yang menggajikan rakyat Malaysia. Tapi yang ini susah sikit. Sebab ramai rakyat cakap saja berdegar. Tapi bila sampai nak melaksana, alah lain kali je la…
Raja Gelap