Panas! Arutchelvan tempelak MB Pas Kedah, berhenti guna duit rakyat untuk balas dendam

 


Panas! Arutchelvan tempelak MB Pas Kedah, berhenti guna duit rakyat untuk balas dendam

PSM membidas tindakan polis menahan tiga individu kerana didakwa menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang baru-baru ini “bergurau” mengenai kontena jenazah untuk mangsa Covid-19.

Timbalan pengerusinya S Arutchelvan berkata polis bertindak atas laporan yang dibuat oleh pegawai khas Sanusi terhadap ketiga-tiga lelaki itu.

“Polis dilaporkan pergi ke rumah mereka dan menahan mereka kerana komen yang mereka buat mengenai Sanusi.

“Polis berkata mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kebebasan bersuara kita dijamin di bawah Artikel 10 Perlembagaan dan jika Sanusi tidak puas hati dengan mereka, dia seharusnya menggunakan mahkamah sivil untuk memfailkan kes fitnah,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menambah bahawa Sanusi tidak boleh menggunakan wang rakyat untuk membalas dendam jika dia rasa terhina.

“Polis seharusnya memberitahu pegawai khas menteri besar bahawa perkara ini adalah masalah sivil dan bukan jenayah.

“Tolong berhenti membebankan polis daripada melakukan semua tugasan yang tidak penting ini. Dan berhenti menggunakan wang kami (rakyat) untuk perkara seperti ini,” kata Arutchelvan.

Semalam, seorang lelaki berusia 61 tahun dari Negeri Sembilan ditahan berhubung sebuah video yang didakwa menghina Sanusi setelah menteri besar itu dikatakan membuat “gurauan kasar” tentang kontena jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan polis telah mengesan lelaki itu dan menyerbu rumahnya.

“Lelaki itu direman dan dibebaskan dengan jaminan polis setelah kenyataannya diambil,” kata Adzli.

Hari ini, Ketua Polis Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dua lelaki, berusia 42 dan 52 tahun, ditahan di rumah masing-masing di Alor Setar petang semalam.

Kedua-duanya dilaporkan mengaku telah menulis dan menyiarkan komen di akaun Facebook seorang pemimpin politik.

Sanusi sebelum ini turut terpalit dengan kontroversi lain.

Bulan lalu, pemimpin PAS itu didenda kerana didapati memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di Pulau Pinang ketika negara sedang melaksanakan sekatan pergerakan penuh.

Pada Disember tahun lalu, Sanusi dikecam kerana mengeluarkan kenyataan perkauman dengan menyerang pemimpin berbangsa India kerana mengkritik mengenai isu perobohan kuil Hindu.

Dia telah mendakwa bahawa mereka bertindak “mabuk todi populariti” dalam isu tersebut.

No comments: