Zahid rayu MP sokong Mahiaddin kembali ke pangkuan Umno
Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi merayu kepada Ahli Parlimen parti itu yang masih menyokong Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin supaya meninggalkan kerajaan PN yang gagal dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.
Dalam posting terkini, Zahid menasihatkan agar Ahli Parlimen itu menginsafi bahawa kewajipan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bermaksud wakil kepada rakyat bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat.
“Ingatilah juga kewajipan kita sebagai wakil rakyat dari Umno iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, mengutamakan rakyat dan mementingkan rakyat.
“Bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja,” kata beliau.
Zahid juga percaya kini adalah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa sebagai wakil rakyat dari Umno sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat.
Katanya, bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.
“Sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia.
“Fahamilah juga pesanan Timbalan Presiden Umno hubungan di antara Ahli MKT Umno Malaysia dan Ahli Parlimen Umno mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.
“Sebagai Ahli Parlimen Umno kita sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli Umno sendiri.
“Juga pengundi-pengundi Umno di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi Umno tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis.
“Maka sudah tiba masa kita sebagai Ahli Parlimen UMNO menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka,” ujarnya lagi.