Selepas warga emas, dua individu lagi ditahan polis, didakwa hina MB Kedah
Selepas seorang warga emas, polis hari ini turut menahan ahli perniagaan dan juruteknik susulan komen yang didakwa menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook (FB), bulan lalu.
Kedua-duanya berusia 45 dan 52 tahun masing-masing ditahan di rumah mereka di Mergong dan Hutan Kampung, di sini.
Menurut sumber, ahli perniagaan ditahan pada 5.30 petang, manakala juruteknik pada 6.15 petang dan telefon bimbit masing-masing dirampas.
Difahamkan, mereka mengaku menulis dan meninggalkan komen berunsur penghinaan itu di akaun FB seorang pemimpin politik.
Penahanan itu susulan laporan dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, semalam.
Terdahulu, lelaki warga emas yang memuat naik video menghina Muhammad Sanusi di FB, baru-baru ini, ditahan polis di Lenggeng, Negeri Sembilan awal pagi.
Lelaki berusia 61 tahun terbabit ditahan pada 3.57 pagi dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sementara itu, seorang pentadbir laman sosial Menteri Besar Kedah turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani hari ini, selepas menerima kiriman mesej berbaur ugutan dan kata-kata kesat yang dituju kepada Muhammad Sanusi melalui perkhidmatan Facebook Messenger.