Usul Undi Percaya yang dinyatakan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin
Yassin akan dibentangkan untuk menentukan majoriti kerajaan beliau masih belum
dimasukkan ke dalam jadual sidang Parlimen.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, usul tersebut
berkemungkinan hanya akan dibentangkan selepas 2 minggu sesi Parlimen 6
Setember ini dibuka.
"Kita bersidang 6 September tetapi mengikut urusan mesyuarat
(order paper) jelas sekali dia (Undi Percaya) tidak dibuat pada 6 haribulan.
Hari itu Yang di-Pertuan Agong akan beri ucapan, lepas itu kita bahas 2 minggu.
Yang nampak (boleh diadakan) pada 26 September, boleh diadakah satu motion, dan
ini tidak tertulis lagi.
"Jadi maknanya usul tidak wujud dalam dokumen rasmi pada masa
sekarang. Dan window (ruang yang ada) nampaknya (selepas) 26 haribulan. Mengapa
perlu tunggu 2 minggu?" katanya tidak berpuas hati dengan cubaan
melengahkan waktu yang keterlaluan dilakukan oleh pentadbiran Mahiaddin.
Justeru, Wong mencabar PM sekiranya beliau mempunai majoriti
sebagaimana dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini maka hal
itu dibuktikan dengan memanggil sidang khas Parlimen Undi Percaya, bukannya
menggunakan sidang biasa yang mempunyai aturan membahas titah Diraja dan
sebagainya.
"Kalau ada tunjukkan. Takut apa? kalau lengahkan maknanya
kerajaan tidak bertanggungjawab. Orang nak berniaga susah. Orang ramai kena
Covid, 10,000 sudah mati. Tidak cukupkah mahu main politik?" katanya.
Syed Ibrahim Syed Noh
Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pula
berkata, sidang menentukan keabsahan Mahiaddin boleh dibuat pada bila-bila masa
dan Ahli Parlimen tidak perlu dijatuhkan maruah mereka dengan percubaan
menyogok wang ringgit.
"Buat sidang Parlimen segera. Kalau ditunggu September banyak
perkara sudah pun berlaku. Saya rasa Ahli Parlimen yang dipancing sudah membuat
laporan polis. Pihak SPRM sudah membuat siasatan. Mengapa kita perlu melalui
perkara ini?
"Sedangkan perkara ini boleh diselesaikan dengan membuat Undi
Percaya seberapa segera," katanya.