Panas! Ahli Parlimen Dap dakwa dihubungi ‘Nazri’ untuk lompat parti sokong PN

 


Panas! Ahli Parlimen Dap dakwa dihubungi ‘Nazri’ untuk lompat parti sokong PN

Isu ‘tawaran’ lompat parti semakin ‘panas’ apabila terkini Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Cha Kee Chin turut mendakwa menerima kiriman pesanan di aplikasi WhatsApp seolah-olah untuk tujuan sama.

Walaupun tiada sebarang ‘tawaran’ yang diberikan, tindakan individu yang menghubunginya menerusi pesanan di WhatsApp itu menyamar sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendatangkan kecurigaan.

Kee Chin menjelaskan, dia pada mulanya menerima pesanan di WhatsApp daripada seorang individu pada 4 Ogos lalu yang pada mulanya beliau percaya sebagai Mohamed Nazri berdasarkan gambar dan nama di profil WhatsApp yang digunakan individu terbabit.

“Saya tidaklah rapat dengan Mohamed Nazri malah tidak mempunyai nombor telefon beliau tetapi selalu berjumpa di Parlimen. Kemudian apabila saya menerima pesanan WhatsApp yang saya percaya daripada beliau dan bertanyakan pula tentang keadaan keluarga dan situasi di Parlimen Rasah, saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun, apabila individu tersebut memaklumkan ingin bertemu dan berbincang mengenai Parlimen Rasah selain turut memberitahu Perdana Menteri turut menyampaikan salam, saya sudah mulai curiga. Saya membalas mesej berkenaan dan bertanyakan sama ada ia mempunyai maksud tersirat, individu itu memaklumkan “ada dan tiada cuma hanya untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya dekat sini hari ini.

Kee Chin berkata, beliau kemudian memberitahu perkara itu kepada pimpinan tertinggi DAP dan kemudian dimaklumkan bahawa nombor telefon itu bukanlah milik Mohamed Nazri.

Beliau kemudian telah menyekat nombor telefon individu terbabit dan selepas itu tiada lagi perbualan di WhatsApp di antara mereka berdua.

“Apa yang menimbulkan kecurigaan saya ialah apabila individu terbabit menyebut Perdana Menteri mengirimkan salam, jika dia hanya mengakui sebagai Mohamed Nazri mungkin saya tidak mengesyaki apa-apa kerana adalah normal untuk ahli Parlimen saling menghubungi dan bertanya khabar walaupun berlainan parti.

“Jika benar ia merupakan Mohamed Nazri saya tidak akan menyekatnya malah jika ia individu yang mengakui mewakili mana-mana pemimpin sekali pun tidak mengapa kerana saya boleh menyatakan pendirian saya. Tetapi apabila mengetahui individu terbabit hanyalah penyamar, saya menyekatnya dan tiada makna untuk saya terus berkomunikasi dengannya” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau mahu membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut, Kee Chin memaklumkan tidak mahu memanjangkan isu terbabit dan fokusnya adalah untuk terus membantu rakyat yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Saya tidak membuat laporan polis kerana di dalam mesej itu saya tidak ditawarkan apa-apa pun seperti rakan-rakan yang lain malah Mohamed Nazri juga saya difahamkan telah menafikan penglibatan beliau dalam perkara ini.

“Perkara sebegini adalah pertama kali saya lalui sejak menjadi wakil rakyat 13 tahun lalu bagaimanapun bagi saya dalam suasana politik semasa isu sebegini bukanlah sesuatu yang mengejutkan,” katanya lagi.

Kelmarin beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari DAP dilaporkan menerima tawaran supaya melompat parti antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Utara, Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong selain beberapa ahli Parlimen dari PKR.

Sumber | UTUS

No comments: