Jangan buka sekolah sehingga capai imuniti kelompok, pelajar belum divaksin - Prabakaran

 

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mempersoalkan pengumuman kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ingin membuka semula sesi persekolah pada September ini.

Bagi beliau, pembukaan semula sekolah akan mengundang padah yang buruk kerana para pelajar tidak divaksin dan mereka pula banyak menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak.

"Sekolah-sekolah akan dibuka pada September. Ini pengumuman dari Menteri. Saya nak tanya macam mana penjarakan sosial dalam sekolah? Macam mana kementerian atau kerajaan boleh syorkan tiada Covid dalam sekolah?

"Pelajar sekolah akan menggunakan pengangkutan awam, LRT, KTM, bas. Macam mana nak syorkan mereka ini bebas dari Covid?

"Sudahlah mereka tidak divaksin. Ini akan menyusahkan rakyat Malaysia," katanya.

Praba meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula keputusan pembukaan sesi persekolahan pada bulan hadapan memandangkan pelajar, khususnya di sekolah rendah sukar dipastikan untuk mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) di tengah-tengah gelombang jangkitan Covid yang mengganas.

Selain itu, beliau mencadangkan peningkatan kualiti internet 4G sebagai jalan keluar untuk semua pelajar belajar dari rumah.

"Kawasan saya ada 4 sekolah yang pengangkutan utamanya (ke sekolah) LRT. Batu Muda ada 3 sekolah dan di situ ada pusat saringan Covid, akan menggunakan pengangkutan sama.... Saya harap kerajaan memahami ini dan mengambil langkah berjaga-jaga. Jangan masing-masing buat kenyataan kerana mood Menteri berlainan.

"Saya mahu kementerian kaji balik. Jangan buka sekolah sampai negara ini dapat imuniti kelompok. Ada banyak teknologi untuk kita mendapatkan pengajian melalui internet. Tingkatkan sistem internet. Ada banyak PPR di Kuala Lumpur internet 3G lagi. Kadang-kadang bukan 3G pun.

"DBKL bersama Kementerian Multimedia kena naik taraf internet yang belum ditingkatkan. Saya rasa kita jangan ambil risiko buka sekolah (tahun ini)," katanya lagi.


No comments: