Menjelang usul percaya yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen September depan di mana sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin kini merosot hari demi hari – sebenarnya kini sudah pun tiada majoriti lagi – ramai yang mula cenderung menimbulkan persoalan siapa calon pengganti Perdana Menteri.
Adakah ia Anwar Ibrahim, Tun Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Shafie Apdal atau sesiapa yang lain?
Mereka berhujah, jika Mahiaddin ingin dijatuhkan, calon penggantinya mestilah dinamakan bagi mengisi kekosongan itu.
Mereka yang menyokong PN dan Mahiaddin pula tanpa ragu-ragu menyatakan tiada calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang yang benar-benar disepakati memiliki majoriti mencukupi.
Kata mereka, siapa pun yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang atau yang menentang Mahiaddin, pasti ada kelompok tertentu daripada kalangan sendiri yang tidak menyokongnya.
Jika begitu, tegas mereka, bagaimana mahu menjatuhkan Mahiaddin?
Sebenarnya, persoalan pokok dan keperluan mendesak dalam negara sekarang ialah menjatuhkan Mahiaddin, manakala siapa calon Perdana Menteri selepas Presiden Bersatu itu dijatuhkan daripada tampuk kuasa adalah isu kedua.
Blok pembangkang, termasuk kelompok UMNO yang tidak setuju dengan Mahiaddin tidak perlu berbalah dalam soal tersebut sehingga Perdana Menteri dijatuhkan terlebih dahulu.
Ibarat gigi yang telah rosak yang menyebabkan seluruh kehidupan terganggu, gigi tersebut perlu dicabut terlebih dahulu sebelum mahu diganti baru sama ada dengan jenis yang mahal, yang murah atau jika ingin jenis gigi yang disalut dengan emas dan suasa sekali pun.
Tidak guna sibuk-sibuk memilih apa jenis gigi yang mahu dipasang, tetapi gigi yang rosak masih tidak berjaya untuk dicabut.
Sebab itu, kesepakatan blok pembangkang bersama kelompok UMNO dalam keinginan menumbangkan Mahiaddin yang sehingga ini nampaknya kekal mantap dan tidak tergugat harus sentiasa dikekalkan sehingga ke titik akhir perjuangan.
Hanya setelah Mahiaddin berjaya dijatuhkan, barulah semua pihak dalam blok pembangkang dan kelompok UMNO yang menyumbang kepada kejatuhan Perdana Menteri tadi perlu duduk berbincang dan bermesyuarat bagi mencari kata sepakat memilih calon yang sesuai mengetuai kerajaan.
Ditakuti jika berbalah sekarang untuk memilih calon Perdana Menteri, ia akan menyebabkan perpecahan sesama sendiri yang akhirnya Mahiaddin gagal dijatuhkan.
Siapa yang rugi dan malu sendiri jika sampai itu yang berlaku?
Sekali lagi ditekankan, adalah penting menjatuhkan Mahiaddin terlebih dahulu dan selepas itu barulah dibincangkan siapa calon Perdana Menteri.
Dalam berbincang dan menentukan calon Perdana Menteri itu haruslah dilupakan sama sekali sebarang sentimen dan kepentingan kelompok, sebaliknya fokus kepada usaha memulihkan negara dan menyelamatkan nasib rakyat yang sudah begitu lama sengsara akibat kegagalan kerajaan lama.
Kerajaan baru, walau apa bentuknya sekali pun, mesti dipimpin oleh sosok yang cergas, bertenaga, penuh idea dan punya kemampuan serta hubungan antarabangsa yang meyakinkan kerana dalam usaha memulihkan ekonomi khususnya, kita tidak dapat lari daripada keperluan mendapat manfaat daripada dunia luar dan negara-negara sahabat yang lebih kaya dan maju.
Pilihan kedua, kiranya kesepakatan gagal dicapai, biarlah soal menentukan calon Perdana Menteri itu ditentukan oleh kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong berdasarkan kepentingan negara, kestabilan hidup rakyat pelbagai kaum dan pihak mana yang lebih diyakini baginda mampu mentadbir dengan lebih baik, antaranya dengan mengambil kira kekuatan sokongan yang dimiliki oleh seseorang yang hendak dipilih itu.
Apa pun, dalam keadaan negara yang terumbang-ambing dengan pelbagai krisis sekarang, tiada pilihan bahawa Mahiaddin sudah wajib dijatuhkan dan seterusnya digantikan dengan seorang Perdana Menteri yang baharu.
Kesepakatan untuk mencapai matlamat jangan sesekali jadi goyah sehingga Mahiaddin akhirnya mampu kekal lagi dengan kuasanya.
Penting untuk difikirkan, lagi lama Mahiaddin jadi Perdana Menteri, bukan saja kontena mayat di hospital tidak mampu disediakan dan hospital terpaksa memohon bantuan pihak swasta, bahkan mungkin lebih banyak lagi lantikan penasihat khas bertaraf menteri dilakukannya yang lantikan itu satu sen pun tiada faedah untuk memperbaiki nasib hidup rakyat yang sedang susah dan derita ketika ini.
(ShahbudinHusin 10/09/2021)