Sikap Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang
'bersenang-senang' di Perancis ketika rakyat di kawasannya menderita bergelut
pandemik Covid 19 mendapat kecaman banyak pihak.
Bagi Naib Ketua Cabang KEADILAN Padang Rengas, Muhammad Kamil Abdul Munim, sikap tidak sensitif Nazri itu amat menghampakan penduduk di kawasannya yang menghadapi pelbagai kesukaran meneruskan kehidupan harian dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan melihat gelagat wakil rakyat tidak sensitif dengan keadaan semasa tatkala rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan
"Sewaktu negara berhadapan krisis melawan pandemik dengan pelbagai masalah berkaitan bantuan asas, pengangguran, kos sara hidup, capaian internet untuk pembelajaran atas talian, masalah kekurangan peranti dan sebagainya, wakil rakyat ini telah memilih untuk meninggalkan rakyatnya yang sedang menderita terutama di kawasan Padang Rengas.
"Ketika mana kes jangkitan harian dan kematian akibat Covid 19 terus mencatatkan angka yang tinggi, adalah wajar bagi seorang wakil rakyat yang dipilih menunjukkan sikap lebih merendah diri dengan menangguhkan sebarang aktiviti dikategorikan sebagai 'non-essential' dan menumpukan perhatian terhadap kelompok masyarakat terkesan dan tidak bernasib baik, terutama di kawasan yang diwakili beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kamil lagi, pemimpin berjiwa rakyat perlu turun ke lapangan untuk melihat keadaan sebenar kesusahan hidup di kawasan masing-masing, sama ada dibandar mahu pun luar bandar.
Tanpa pemimpin turun padang, katanya, usaha untuk memulihkan kawasan akan mengalami hambatan dan pihak yang sewajarnya dibantu tidak mendapat bantuan.
"Keadaan sekarang menuntut pemimpin-pemimpin turun melihat sendiri permasalahan dan derita yang dialami rakyat sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.
"Negara kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang parah, usah pula kita menunjukkan sikap yang sombong dan angkuh," katanya lagi.
Nazri baru-baru ini menerima kecaman hebat netizen apabila gambar pengembaraan beliau bersama anak dan isteri di Perancis tular. Rata-rata warga maya marah kepada pemimpin yang sengaja memaparkan keselesaan hidup mereka di kala rakyat Malaysia dikurung, hilang mata pencarian dan bertarung menghadapi maut pada setiap hari.