Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu didesak bersidang segera bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan Covid-19 di samping usaha pemulihan ekonomi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan melengah-lengahkan perkara itu akan menyebabkan rakyat terus terhimpit dalam pelbagai masalah.
“Banyak negeri sudah menetapkan tarikh DUN bersidang, tetapi kenapa Terengganu masih berdiam dan setakat ini tiada apa-apa maklumat mengenainya.
“Setahu saya semua wakil rakyat sudah divaksin, jadi apa yang menyebabkan DUN masih belum boleh dibuka? Ada banyak isu panas yang saya nak dibangkitkan,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kesediaan untuk mengadakan sidang DUN dan pihaknya masih menunggu makluman Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping Kementerian Kesihatan berhubung kaedah terbaik pelaksanaannya.