JIKA LOCKDOWN DILANJUT, BENDERA PUTIH NAIK DI HAMPIR SETIAP RUMAH?

 Jika lockdown dilanjut, bendera putih naik di hampir setiap rumah?

Jika lockdown dilanjut, bendera putih naik di hampir setiap rumah?



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal total melawan Covid 19 bukan disebabkan kekurangan vaksin di pasaran antarabangsa tetapi kesilapan polisi menyebabkan pandemik semakin buruk sehingga kes jangkitan melebihi 11,000 sehari.

Bagi ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, rakyat mungkin boleh menerima alasan sektor perindustrian dibenarkan beroperasi mengelakkan ekonomi negara lumpuh, namun mereka tidak faham mengapakah pekerja sektor industri tersebut tidak divaksin terlebih dahulu sehingga mewujudkan kluster kilang.

“Rakyat melihat kerajaan gagal apabila mereka bertindak di tempat yang salah. Kerajaan mengarahkan berkurung di rumah sedang kilang-kilang yang mempunyai ribuan pekerja dibenarkan terus beroperasi.

“Kita boleh terima hujah untuk membenarkan kilang-kilang beroperasi demi kepentingan ekonomi. Dengan alasan sedemikian, sepatutnya pekerja-pekerja kilang perlu divaksinkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan berkerja.

“Malangnya kerajaan sibuk memberi vaksin kepada warga emas dan golongan yang telah sedia duduk di rumah serta membiarkan pekerja-pekerja kilang bergerak tanpa perlindungan vaksin.

“Lebih malang apabila kerajaan tidak membenarkan pemilik-pemilik kilang memberi vaksin sendiri buat pekerja-pekerja mereka. Ternyata kluster-kluster pekerja kilang telah menyumbangkan sebahagian besar daripada jumlah jangkitan Covid 19 setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khiaruddin, kesilapan polisi itu diteruskan lagi dengan keyakinan imuniti berkelompok sekiranya terhasil maka negara boleh dibuka kembali seperti biasa.

Namun malangnya kerajaan tidak pula membenarkan suntikan vaksin di klinik-klinik swasta, klinik desa dan sebagainya.

Suntikan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) mega melambatkan penerimaan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan menyakini program vaksinasi berkelompok boleh menyelesaikan masalah pandemik namun apa yang berlaku program tersebut tidak diurus dengan betul. Program vaksinasi berjalan sangat perlahan. Sehingga hari ini hanya sekitar 9% rakyat yang telah menerima suntikan vaksin penuh 2 dos

“Setelah kerajaan berbelanja berbilion ringgit, perlaksanaan program vaksinasi tersebut boleh dianggap gagal. Kalau kita terus bergantung kepada program vaksin ini, maka mungkin rakyat terpaksa berkurung sehingga pertengahan tahun hadapan. Mampukah rakyat bertahan sehingga tempoh berkenaan?” soalnya.

Maka tidak hairan, kata Khairuddin, terdapat rakyat yang menyerah kalah, mengibarkan bendera putih. Malah katanya, jika lockdown diteruskan beberapa bulan lagi maka bendera putih akan menjadi pemandangan biasa di hampir setiap rumah warga Malaysia.

“Sebahagian rakyat menyatakan ‘surrender’ dengan bendera putih untuk menagih simpati demi kelangsungan hidup. Adalah dipercayai bendera putih akan terus berkibar meriah di sana sini jika pihak kerajaan terus gagal menangani pandemik dengan segera.

“Bendera Putih adalah petanda bagaimana kerajaan perlu membuat persediaan yang lebih besar bagi membantu rakyat habis ikhtiar semasa mereka berkurung. Mereka perlu dibantu sekurang-kurangnya dengan kadar yang cukup untuk menampung keperluan makan pakai sekeluarga.

“Di kalangan rakyat mereka telah berusaha membantu orang-orang yang berada dalam kecemasan dengan Program Bendera Putih, pihak kerajaan pula disarankan dapat menyediakan talian-talian hot line kecemasan di mana rakyat yang berada dalam kesempitan boleh membuat panggilan pada bila-bila masa

“Program-program sebegini boleh membantu rakyat yang dalam kaedaan stres dan putus harapan serta boleh mengurangkan kes-kes bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

Tambah beliau, rakyat ingin melihat kerajaan mengemukakan suatu perancangan yang meyakinkan dan usaha-usaha yang berkesan agar negara keluar daripada pandemik Covid 19 secepat mungkin.

Bagaimanapun, kata Khairuddin, malangnya pimpinan negara belum menampakkan jalan-jalan keluar yang jelas dan terang. Rakyat terus kabur melihat masa depan mereka dan negara.

No comments: