Anda punca lambakan doktor, jangan lepas tangan, kerajaan diberitahu


Di Malaysia, terdapat kira-kira 71,000 doktor dengan lebih kurang 51,000 daripadanya adalah penjawat awam, manakala 23,000 lagi doktor kontrak.

PETALING JAYA: Kerajaan diminta bertanggungjawab ke atas “kekalutan” akibat keputusan dibuat 20 tahun lalu yang memberi lesen kepada terlalu banyak institusi pengajian tinggi perubatan, kata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Katanya, agensi kawal selia memberi kelulusan kepada institusi ini tanpa melihat keperluan sebenar dan infrastruktur yang ada.

Akibatnya, bilangan siswazah melonjak di luar kawalan dan 45% daripada bilangan doktor di hospital awam kini terdiri daripada doktor kontrak, tambahnya.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 71,000 doktor dengan lebih kurang 51,000 daripadanya adalah penjawat awam, manakala baki 23,000 lagi doktor kontrak. Terdapat 31 institusi pengajian perubatan di negara ini dengan 11 daripadanya merupakan institusi milik kerajaan.

“Ditambah lulusan asing yang pulang setiap tahun, kita ada kira-kira 5,000 hingga 6,000 orang yang memerlukan tempat untuk menjalani latihan,” kata Jeyakumar kepada FMT.

Beliau berkata, kelulusan bagi institusi pengajian perubatan diberikan tanpa mengambil kira bilangan hospital latihan atau sama ada kerajaan boleh menyerap semua graduan perubatan ke dalam perkhidmatan awam secara tetap.

Sebilangan besar institusi swasta katanya, diterajui bekas pegawai kanan kerajaan dan beliau mendakwa mereka menggunakan kaitan peribadi untuk mendapatkan kuota yang diingini memandangkan lebih ramai pelajar bermakna keuntungan yang lebih tinggi.

“Bayaran bagi kursus lima tahun adalah sekitar RM300,000 hingga RM700,000,” katanya.

Jeyakumar berkata, dengan langkah memberi lesen kepada institusi pengajian perubatan dan menyediakan tempat bagi hampir semua yang ingin belajar bidang perubatan, kerajaan meyakinkan pelajar dan ibu bapa bahawa doktor sememangnya diperlukan.

“Kini kira-kira 2,500 dalam kumpulan doktor kontrak pertama akan mencapai penggal lima tahun mereka. Selepas itu, lebih ramai doktor kontrak akan mula berkhidmat setiap tahun.

Ini “keserabutan” yang dicipta kerajaan sendiri, katanya sambil menambah, kerajaan tidak sepatutnya berlepas tangan sekarang.

Sebagai langkah segera untuk menyelesaikan kebuntuan ini, Jeyakumar menyarankan agar kontrak doktor ini dilanjutkan lima tahun lagi dan mereka dibenarkan mendaftar untuk kursus kepakaran dengan institusi pengajian perubatan swasta.

“Pada masa sama, kerajaan harus mengurangkan pengambilan pelajar perubatan baharu di universiti awam sebanyak 10%. Bagi institusi swasta, harus dikurangkan sebanyak 70%. Lagipun, institusi swasta telah memperoleh keuntungan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan langkah jangka masa panjang, iaitu membina tambahan sebuah hospital awam di setiap bandar utama kerana ini akan mewujudkan kekosongan untuk doktor dan juga kakitangan para-perubatan yang menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan sesuai dengan latihan mereka.

“Kita perlu lebih ramai doktor di klinik pesakit luar kerana tempoh menunggunya lama dengan doktor terpaksa merawat terlalu ramai pesakit,” katanya.

No comments: