Kerajaan pertimbang beri kelonggaran untuk penerima vaksin lengkap


PUTRAJAYA: Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan diberi kelonggaran tertentu, termasuk makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) membuat penilaian semula berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Saya fikir sebahagian besar (rakyat) sudah dapat suntikan (vaksin Covid-19).

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan (JKJAV) menilai semula bagi mereka yang dapat vaksin dua suntikan supaya mereka akan diberikan kelonggaran, sama ada dari segi perjalanan atau pergi ke kedai atau makan di restoran.

“Ini petanda supaya kita nak tunjukkan sementara kita menguruskan Covid-19, maka kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa yang lepas,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan penyediaan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada masa ini katanya, proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan mengikut jadual.

“Saya harap dalam tempoh beberapa hari ke hadapan, bulan ini dan bulan hadapan, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah,” katanya.

Muhyiddin meminta semua pihak meletakkan keyakinan kepada kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19.

“Jadi bersabarlah, jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan, tapi yakinlah dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan NGO, kita boleh menang dalam menghadapi ‘peperangan’ ini,” katanya.

Malaysia mula melaksanakan PICK pada 24 Februari dan setakat ini sebanyak 12,647,558 dos vaksin telah diberikan menjadikan jumlah keseluruhan individu yang lengkap dua dos vaksin ialah 4,003,266 atau 12.3% daripada populasi rakyat.

No comments: