Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan
Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Kenyataan itu selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan
berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di
Istana Negara.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti
politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar
dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan
bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan
Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Ahmad Fadil.
Agong juga menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak
tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat
agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal
mungkin, jelasnya.
Seri Paduka Baginda juga, kata Ahmad Fadil turut menzahirkan
pandangan bahawa perlu adanya “pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta
berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan
ekonomi negara.”
“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen
sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi
membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi. MK