KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
17 Jun 2021
Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.
Majlis Presiden turut menjunjung kasih di atas titah Tuanku bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Kami juga mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera.
Oleh itu, adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.
Amatlah penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.
Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.
Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.
YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP