JIKA MASIH ADA AIR MUKA, MAHIADDIN SUDAH PATUT MOHON KELUAR PADANG


 Antara ketetapan penting yang diputuskan dalam Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja petang semalam ialah:

⁃ Parlimen perlu dibenarkan bersidang dengan segera dan secepat mungkin.

⁃ Perlunya sebuah kerajaan yang stabil, kukuh serta mendapat keyakinan majoriti rakyat.

⁃ Tiada keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas 1 Ogos akan datang.

Jika diteliti pula, ketetapan Majlis Raja-Raja itu hampir senada dengan artikel dalam blog ini semalam yang bertajuk “Dua Harapan Sederhana Rakyat Jelata Kepada Raja-Raja”.

Dalam artikel itu, ditekankan dua harapan rakyat itu ialah mahu agar penamatan tempoh darurat dan keperluan Parlimen dibuka dengan serta-merta yang bersekali dengan usul undi percaya atau usul undi tidak percaya mesti dibentangkan kepada Perdana Menteri.


Kedua-dua harapan itu ialah bagi mengelakkan kedudukan kerajaan dan Perdana Menteri terus dipertikaikan dan tidak mendapat keyakinan daripada rakyat.

Berdasarkan apa yang dizahirkan oleh Majlis Raja-Raja hasil perbincangan khas semalam, adalah jelas bahawa kata-kata Mahiaddin Md Yasin yang hanya mahu membenarkan Parlimen dibuka untuk bersidang pada September atau Oktober telah ditolak dengan dengan sendirinya.

Ayat kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang berbunyi “menitahkan agar Parlimen segera bersidang” manakala kenyataan media Istana Negara pula menyebut “persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin” adalah tanpa keraguan sangat mudah untuk difahami maksudnya kecuali jika kerajaan dan Mahiddin cuba untuk terus bersikap derhaka kepada Istana.

Memahami keperluan Parlimen dibenarkan bersidang secepat mungkin dan segera itu, bersekali dengan kedudukan politik yang difahami tidak stabil dalam negara dan pandangan Majlis Raja-Raja tentang perlunya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil serta mendapat keyakinan, ini dengan jelas juga memberi maksud usul undi percaya atau usul undi tidak percaya mesti dibenarkan untuk dibentangkan serta tidak boleh dihalang lagi.

Keperluan kepada kerajaan yang kukuh dan stabil itu tidak lain bermaksud bahawa kerajaan PN yang ada sekarang adalah tidak kukuh dan tidak stabil serta tidak mendapat keyakinan daripada rakyat.

Dalam maksud yang tersirat, pihak Istana juga mengakui PN adalah sebuah kerajaan yang gagal, apalagi tiada sepatah pun perkataan dalam kenyataan Majlis Raja-Raja yang menyebut tentang kejayaan kerajaan.

Selagi tiada usul tersebut, selagi itu kedudukan kerajaan dan Perdana Menteri terus diragui serta tidak menepati kehendak Majlis Raja-Raja berkaitan perlunya diwujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh di negara ini.

Selain itu, oleh kerana Majlis Raja-Raja juga menyatakan tiada keperluan darurat disambung lagi, maka kiranya kerajaan dan Mahiaddin benar-benar taat dan setia kepada Agong dan Raja-Raja, mereka harus segera menetapkan tarikh pembukaan sidang Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir.

Lagi pula, sebelum ini pun Agong sudah pernah bertitah bahawa Parlimen boleh dibenarkan bersidang ketika tempoh darurat dikuatkuasakan.

Oleh kerana titah pertama sebelum ini tidak dipedulikan oleh Mahiaddin, bermakna ini adalah penderhakaan kali kedua oleh kerajaan terhadap Agong jika berterusan enggan mematuhinya.

Yang nyata juga, Pelan Pemulihan Nasional yang dibentangkan oleh Mahiaddin yang dipercayai ramai sebagai percubaan saat-saat akhirnya untuk menunjukkan beliau sedang buat kerja, langsung tidak disentuh oleh Majlis Raja-Raja, malah mahu ia dibincangkan di dalam Parlimen terlebih dahulu bersama hal berkaitan ordinan darurat.

Begitu juga dengan cubaan Tun Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan ala Mageran yang dipimpin olehnya, turut tidak mendapat perhatian sama sekali daripada Majlis Raja-Raja.

Apa yang Majlis Raja-Raja mahukan ialah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil melalui proses pembukaan Parlimen secepat mungkin dan segera di mana Ahli-Ahli Parlimen harus memutuskan pendirian berkenaan dengannya.

Dalam hal ini, jika Mahiaddin masih ada perasaan malu, tiada pilihan yang harus dilakukannya, melainkan melaksanakan apa yang dititahkan itu tanpa banyak soal.

Tiada ruang lagi untuk beliau berdalih, berlengah-lengah atau cuba mengalihkan tiang gol.

Dengan waktu permainan sudah hampir tamat, pilihan yang ada di tangan Mahiaddin kini hanya tinggal dua – segera keluar padang atau tunggu dilayangkan kad merah atas kesalahan berulang-ulang yang telah dilakukannya, di samping prestasi permainannya sendiri adalah di bawah paras kecergasan. 


(ShahbudinHusin 17/06/2021)

No comments: