Tanpa Larry Sng, PH tetap kuat di Sarawak – Hud Andri

 


Tanpa Larry Sng, PH tetap kuat di Sarawak – Hud Andri


Peletakan jawatan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien sebagai Pengerusi PKR Sarawak dan mengumumkan keluar dari parti itu tidak menjejaskan persiapan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Perkara tersebut ditegaskan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak Hud Andri Zulkarnaen yang menegaskan, tindakan Larry itu tidak memberi apa-apa kesan ke atas komponen parti dalam PH termasuk PKR Sarawak.

“Peletakan jawatan Larry tidak menjejaskan persiapan calon-calon PH terutama PKR dalam menghadapi PRN Sarawak dan saya yakin rakan daripada PKR Sarawak makin bersemangat dalam mengatur gerak-kerja pilihan raya mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Tambahnya, tindakan Ahli Parlimen Julau itu sememangnya sudah dijangkakan sejak awal lagi ketika menyertai PKR selepas PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Tindakan beliau (Larry) sudah dapat dibaca sejak menyertai PKR dan akan berakhir dengan tindakan begini.

“Ada beliau atau tidak, sedikit pun tidak menambah ataupun tidak mengurangkan kekuatan serta semangat kita dalam persiapan menghadapi PRN-12 kelak,” tegas Hud.

Jelasnya lagi, peletakan jawatan Larry juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Beliau juga bukan pemimpin asal pembangkang atau reformasi PKR Sarawak dan beliau belum lagi ada jasa mahupun bakti kepada gerakkan pembangkang di Sarawak.

“Sebelum ini juga beliau pernah berhasrat meletakan jawatan dengan alasan mahukan kaum Iban diberi kuasa politik dan tempat tertinggi dalam kerajaaan,” tambahnya.

Justeru, beliau cukup yakin tindakan Larry itu memantapkan lagi jentera pilihan raya PH di negeri ini.

Terdahulu, Larry dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon bertindak keluar PKR dan menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng mengesahkan Larry telah meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak.

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan jawatan itu dimaklumkan Larry pada mesyuarat majlis kepimpinan negeri yang diadakan secara persidangan video, Jumaat lepas. 



No comments: