Cuti di New Zealand: Dr Santhara perlu letak jawatan - Wanita KEADILAN

 




Timbalan Menteri Wilayah Datuk Seri Dr Edmund Santhara tidak wajar bercuti selama 55 hari di New Zealand mengunjungi keluarganya sedangkan barisan hadapan di Malaysia sedang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid 19.

Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, penjelasan Dr Santhara tidak dapat diterima rakyat.

Katanya, Timbalan Menteri itu harus pulang segera ke Malaysia dan meminta maaf kepada rakyat atau meletakkan jawatan sebagai jalan penyelesaian.

"Selepas meneliti penjelasan panjang lebar Timbalan Menteri Wilayah Datuk Seri Dr. Santhara, saya menggesa beliau agar pulang ke tanah air dan memohon maaf kepada rakyat atau letak jawatan dengan serta-merta kerana telah gagal memikul amanah dan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat terutamanya dalam tempoh pelaksanaan darurat ini.

"Dr Santhara memberikan alasan peribadi dan peranan yang beliau perlu laksanakan sebagai bapa dan suami bagi mewajarkan cuti selama 55 hari.

"Namun, saya berasa kesal dengan sikapnya yang tidak langsung terfikir untuk memendekkan cuti dan pulang ke Malaysia berganding bahu bersama rakyat memerangi wabak Covid-19 pada waktu yang sukar ini, selepas pengisytiharan darurat yang dilaksanakan mulai 12 Januari 2021 lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ker Chean lagi, menteri kabinet Perikatan Nasional sepatutnya mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap petugas barisan hadapan yang tidak dapat menjalankan atau memainkan peranan mereka sebagai ibu-bapa, anak atau suami isteri dalam keluarga masing-masing.

Katanya, menteri seharusnya bersama-sama memberi sokongan kepada barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga secara berterusan demi kepentingan tugasan memerangi Covid-19.

"Persoalan di sini adakah jawatan yang dipegang oleh Dr Santhara penting dalam pasukan anggota pentadbiran sekarang? Secara mudahnya, jika beliau mampu menghilangkan diri begitu sahaja selama 55 hari dengan izin Perdana Menteri, adakah ini bermakna situasi darurat yang dicanangkan oleh kerajaan tidaklah setenat seperti yang digambarkan?

"Tidak kira mana satu situasi Dr. Santhara berada sekarang, rakyat mempunyai hak untuk memantau keberkesanan usaha kerajaan dalam memerangi pandemik ini.

"Oleh itu, Dr Santhara wajar meletakkan jawatan atau dipecat oleh PM demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ketegasan kerajaan dalam urusan pentadbiran negara," kata Ker Chean lagi.

Semalam, Dr Santhara dikecam netizen selepas menjelaskan beliau memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui menteri dan mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

'Kehilangannya' didedahkan oleh laporan Sarawak Report yang mendakwa Santhara tidak pulang ketika Segamat dilanda banjir pada bulan lalu dan dikatakan telah kembali ke Malaysia sebelum Hari Wilayah pada 1 Februari, tetapi pergi semula ke New Zealand selepas itu.