’Lagi berkuasa lagi tak berguna untuk masyarakat’, sindir penyokong kepada pimpinan PAS

 


’Lagi berkuasa lagi tak berguna untuk masyarakat’, sindir penyokong kepada pimpinan PAS


Penyokong Pas yang kontroversi, Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut mengakui parti itu hanya lantang memperjuangkan undang-undang syariah sebelum berkuasa.

Usahawan burger yang tahun lalu tular apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat itu dilihat kecewa dengan sikap Pas yang ketika ini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya bagi 5 ha (ketawa). Apa nak jadi tak tahulah. Penakut yang amat sekarang ni.

“Nak kritik sedikit pun tak berani. Malah disuruh kita hormat. Mulalah kutip kes yang berlaku puluhan tahun dahulu,” bidasnya.

Asri, 43, turut berkongsikan kenyataan media Pas berkenaan keyakinan parti itu bahawa undang-undang sivil dan syariah boleh diharmonikan.

Kelmarin, Pas berpendirian akan berusaha supaya undang-undang sivil yang berteraskan Undang-Undang Lazim atau Common Law dalam negara ini dapat diharmonikan dengan undang-undang syariah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Pas juga yakin pengiktirafan undang-undang syariah termasuk oleh Mahkamah British di negara ini pada zaman pra-kemerdekaan berupaya mewujudkan wajah baharu terhadap sistem perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berharap semua pihak menghormati hal tersebut dan tidak melakukan tindakan tidak wajar.

Sehubungan itu, Asri mengaitkan sikap Pas yang menyumbang 14 Ahli Parlimen dalam kerajaan ‘tebuk atap’ PN itu dengan watak pengkhianat dalam filem klasik yang menjadi lagenda fiksyen perjuangan Rejimen Askar Melayu semasa zaman Perang Dunia Kedua.

“Lagi berkuasa lagi tak berguna untuk masyarakat. Sebelum berkuasa berapi-api, berpantun-pantun paluan jihad.

“Sejak bergaji puluhan ribu bagaikan watak si Buang dalam filem Sarjan Hassan,” kecamnya lagi.

Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran tersebut telah dipadam dari Facebook pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia itu yang pernah mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Dalam filem terbitan tahun 1958 yang dibintangi oleh Tan Sri P. Ramlee itu, watak Buang lakonan Salleh Kamil telah mengkhianati bangsanya dengan bekerja sebagai polis rahsia Jepun. – MD





No comments: