Tinjauan mood rakyat: 46% mahu Muhyiddin letak jawatan PM




POSTED BY AMIR WRLR


Tinjuan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati sebanyak 46% responden mahukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan berbanding hanya 2% sahaja yang menyokong perisytiharan darurat dan mahukan beliau terus berkuasa.

Kajian yang dikeluarkan IDE itu sempena setahun kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kuasa sejak 1 Mac 2020.

"Berdasarkan dapatan Survei IDE terkini, hanya 19% yang memilih untuk beliau (Muhyiddin) kekal sebagai Perdana Menteri hingga tempoh Parlimen tamat.

"Majoriti responden, 46% memilih untuk beliau meletak jawatan kerana kehilangan sokongan majoriti. 29% pula berpandangan beliau wajar membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15.

"Hanya 2% sahaja yang menyokong untuk meneruskan pengisytiharan darurat untuk (Muhyiddin) terus berkuasa," kata kenyataan yang dikeluarkan IDE.

Menurut IDE lagi, kajian bertajuk 'Survei Mood Rakyat Malaysia Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional' itu dibuat secara dalam talian pada 19 hingga 28 Februari 2021 yang melibatkan 8,352 responden seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Berdasarkan analisis mikro melibatkan umur dan juga kaum, survei mendapati pandangan tersebut adalah menyeluruh antara kategori umur mereka yang layak mengundi daripada 21 tahun hingga 66 tahun ke atas.

"Keputusan yang sama juga merentas kaum melibatkan Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan lain-lain," kata kenyataan itu lagi.

Menurut bandan pengkaji tersebut, profil responden merangkumi jantina, umur, kaum dan sokongan kepada parti.

Survei itu juga turut mendapatkan pendirian responden terhadap isu berkaitan prestasi Kerajaan dan Perdana Menteri, usaha Kerajaan menangani Covid 19 dan masa depan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan.

 

No comments: