Azmin semakin gelabah, minta ketepi agenda peribadi

 


Azmin semakin gelabah, minta ketepi agenda peribadi

Sekarang adalah waktu terbaik untuk memperkukuh kedudukan sesama parti dan mengetepikan kepentingan peribadi, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali.

Menurut menteri kanan PN itu ia boleh dilakukan walau ketika semua orang boleh memberikan pandangan sendiri mengenai gabungan berkenaan.

“Semua orang boleh beri pandangan tetapi pada pandangan saya, inilah masa terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan.

“Kita tidak mahu kekuatan yang kita bina ini diruntuhkan oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tertentu,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan sempena ulang tahun pertama perkhidmatannya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Azmin diminta mengulas amaran Umno agar PAS tidak membantu Bersatu jika calon mereka bertembung pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Amaran itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman semalam.

Untuk rekod hubungan Umno dan Bersatu terus tegang di sebalik penyertaan beberapa ahli parlimennya dalam kerajaan PN dipimpin Muhyiddin Yassin.

Dalam keadaan begitu, PAS pula kekal menjalin kerjasama rasmi dengan kedua-dua parti, masing-masing melalui PN dan Muafakat Nasional.

Tajuddin yang juga ahli parlimen Pasir Salak berkata meskipun Umno menghormati keputusan PAS untuk kekal bersama Bersatu, namun partinya juga berharap PAS akan juga kekal menyokong Umno.

Jari pun tak sama panjang

Pada masa sama hubungan Umno-PAS di negeri tertentu – misalnya Terengganu – juga tidak menunjukkan persefahaman yang jitu apabila pemimpin parti terbabit berikrar untuk meletakkan calon di semua kerusi yang ada di negeri itu.

Hal itu diumum Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said beberapa kali, termasuk terbaru pada 4 Jan lalu.

Hari ini Bersatu Terengganu pula mengumumkan mereka sedia meletakkan calon di semua kerusi yang akan ditandingi Umno di Terengganu hal itu akan dirundingkan dengan menteri besar negeri itu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Azmin berkata semua pihak wajar duduk bersama dan berbincang bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.

“Saya bertanggungjawab untuk menganjur perpaduan, saya tidak mahu jadi ejen perpecahan.

“Saya mahu semua pihak ketepikan kepentingan peribadi, duduk dan bincang,” katanya.

 

Mengulas lanjut, ahli parlimen Gombak yang meninggalkan PKR itu berkata rakyat hari ini juga sudah letih dengan permainan serta pergaduhan politik pemimpin negara.

“Rakyat sudah penat, dah letih dengan pergaduhan begini yang berterusan. Ia tidak membantu dan sudah tentu saya sebagai salah seorang pemimpin dalam kerajaan saya nak menganjurkan perpaduan.

“Memang ada pandangan berbeza, pendekatan yang berbeza, kita punya jari pun tak sama panjang, ada pendek, ada kecil dan ada besar.

“Tetapi kalau kita satukan dia menjadi satu kekuatan, kamu boleh genggam, kamu boleh makan tapi kalau satu jari macam mana kita nak makan? Itu maksud saya,” katanya berkias.

Tambah Azmin, perbezaan pandangan sudah tentu ada namun dia yakin ia dapat diselesaikan melalui perbincangan.

“Dan kalau kamu tanya rakyat di bawah pastinya mereka mahukan kerajaan yang kukuh.

“Mereka nak lihat semua pihak dalam kerajaan atau di luar kerajaan dapat bekerjasama sebab akhirnya nanti kita nak pastikan rakyat mendapat jaminan untuk melindungi kesihatan mereka.

“Itu jawapan terus daripada hati nurani saya,”tambahnya.

Sebelum ini, Umno mengesahkan menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan majlis tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15. 



No comments: