-
PETALING JAYA: Tamrin Ghafar menafikan dakwaan mengatakan beliau menerajui sokongan terhadap langkah untuk menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Menjawab satu catatan oleh penulis blog politik Raja Petra Kamarudin, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam itu berkata, sekalipun beliau bersetuju Muhyiddin diganti sebagai perdana menteri, beliau tidak terlibat dengan sebarang berita palsu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya membuat dan mengedar sebarang berita palsu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, penyokong Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, didakwa mendalangi penyebaran memo palsu mengenai rancangan PPBM sebagai sebahagian daripada kempen “terakhir” untuk menjadikan Razaleigh perdana menteri.
Raja Petra berkata, para penyokong Razaleigh melancarkan kempen mereka dengan penyebaran memo yang kononnya sulit mengenai mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM.
Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, memo itu palsu dan laporan polis akan dibuat untuk mengesan dalang di sebaliknya.
Raja Petra, yang menamakan Tamrin sebagai ketua penyokong Razaleigh, mendakwa Tamrin telah berkempen sejak 35 tahun lalu untuk menjadikan Razaleigh perdana menteri.
Beliau berkata, penyokong Razaleigh “bekerja lebih masa untuk mencetuskan perselisihan antara Umno dan PPBM”.
Sekiranya kedua-dua parti itu tidak dapat berdamai sebelum pilihan raya umum, “maka mereka akan memerlukan ‘orang luar’ yang boleh diterima oleh kedua-dua puak yang berlaga. Orang luar’ ini adalah Ku Li, paling tidak, itulah harapan beliau”.
FMT