LUAHAN BENCI CACI MAKI SAMPAI INDONESIA MEMANG SELAYAKNYA DITERIMA MUHYIDDIN

 

Luahan rasa tidak puas hati, benci dan caci maki rakyat terhadap Muhyiddin Yassin sehingga merebak ke laman sosial Presiden Indonesia bukanlah suatu perkara yang ganjil dan luar biasa sebenarnya.

Ia adalah norma baru dalam dunia tanpa sempadan di mana arus media sosial telah menguasai manusia.

Lagi pula, untuk seorang Perdana Menteri minoriti yang tiada keabsahan, degil mempertahankan kuasa sehingga menderhakai Perlembagaan serta berpaut pada darurat dan Istana, malah dalam mengurus Covid19 pula banyak keputusan kerajaan yang menyusahkan rakyat, sememangnya itulah yang layak diterimanya.

Mustahil dengan segala kecaca-marbaan yang menyesakkan nafas rakyat sejak PN menjadi kerajaan, Muhyiddin tiba-tiba mengharapkan pujian serta sanjungan.

Cukuplah rakyat diperdaya dengan gelaran Abah yang digembar-gemburkan berjiwa pelindung, janji mahu merotan, tiada rakyat akan dipinggirkan, menunjuk kebaikan dengan menayang membaca doa dan tidak mahu berpolitik kononnya, tapi akhirnya yang ditunjukkan semuanya ciri-ciri gila kuasa.

Kedudukan Muhyiddin yang tiada keabsahan dan tiada majoriti bukan lagi rahsia di mana selain tiga Ahli Parlimen UMNO secara terbuka tidak lagi menyokongnya, tindakannya menyekat atau memotong peruntukan enam Ahli Parlimen UMNO bagai mengesahkan lagi jumlah minoriti yang tinggal bersamanya.

Dengan menjadi Perdana Menteri minoriti yang berlindung di sebalik darurat dan pagar Istana demi mempertahankan kuasanya, maka mana mungkin rakyat mahu menghormati dan menyokongnya lagi.

Mendengar cakap dan kata-katanya pun bukan lagi menjadi suatu kewajipan.

Luahan rasa tidak puas hati, benci dan caci maki yang diterima Muhyiddin sekarang ini adalah jelas suatu manifestasi penolakan rakyat terhadapnya.

Lebih daripada itu, tidak sedar sudah dibenci, dicaci dan ditolak, pentadbiran Muhyiddin terus menunjukkan keangkuhan dengan cubaan menaikkan kadar kompaun serta membawa terus ke mahkamah sesiapa yang melanggar SOP PKP.

Namun, SOP yang berubah-ubah sehingga pihak polis sendiri jadi keliru dan ramai menteri yang terlepas daripada tindakan, meskipun terbukti pelanggaran yang dilakukan, telah menambahkan lagi rasa meluat rakyat terhadapnya.

Penolakan rakyat ini bukan main-main atau kerana adanya upahan, ia lahir daripada rasa benci dan meluat yang tak tertahan lagi.

Selain itu, disebabkan Muhyiddin tiada keabsahan dan berstatus minoriti sekarang ini, ekonomi negara jadi bertambah buruk kerana pelabur satu demi satu mula melarikan diri.

Jelas di sini, tindakan pelabur membawa wang mereka ke negara lain bukan saja disebabkan tiada kestabilan politik dalam negara, tetapi turut kerana tiada keabsahan atas kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Orang yang tidak ketahuan statusnya, jarang orang lain mahu menjadikannya kawan, malah lebih selamat menjarakkan diri daripada berkawan dengannya.

Oleh itu, dengan kebencian yang makin meluas dalam negara, caci maki terhadapnya sudah merebak ke luar negara, selain ekonomi makin merudum disebabkan ketidakyakinan terhadap kepimpinan dan status keabsahannya, Muhyiddin seharusnya sedar diri dan banyakkan melihat cermin daripada menatap wajah Azmin atau Hamzah Zainuddin.

Beristighfar banyak-banyak dan insaflah bahawa negara kita adalah demokrasi amalannya, bukan autokrasi dengan pemilik kuasa sebenar adalah rakyat yang ada satu undi di tangan mereka.

Berikutan apa yang berlaku kini, Muhyiddin dan pengampunya juga tidak harus sama sekali marah dengan luahan serta nada kebencian rakyat terhadapnya yang nampaknya sudah melarat hingga ke Indonesia.

Dalam hal ini, bukankah Muhyiddin sendiri suatu ketika dahulu pernah bercakap di Singapura serta dengan media di sana menggesa Tun Abdullah Badawi mempercepatkan perletakan jawatannya?

Sekarang, itulah karma yang harus diterimanya dan kerana karma yang menimpanya sekarang disertai sama dengan pengkhianatan, maka sudah tentulah bala lebih bertimpa-timpa lagi. 

(Shahbudindotcom 08/02/2021)



No comments: