Gempar! Annuar Musa bakal dipecat?

 


Gempar! Annuar Musa bakal dipecat?


Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa menegaskan yang dia tidak akan sesekali berputus asa untuk menyatukan parti-parti Melayu meskipun berdepan kemungkinan dipecat daripada partinya sendiri.

Annuar berkata dia sedar bahawa ada pihak mendakwanya cenderung kepada ‘sebuah parti Melayu’, yang tidak dinamakannya.

“Saya tidak akan ‘give up’ walau saya dipecat kerana dikatakan pro sebuah parti Melayu.

“Saya istiqamah dengan pendirian bahawa parti saya hanya akan menjadi kuat sekiranya parti saya berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain.

“Dan seterusnya memupuk kesatuan dengan parti-parti dan bangsa lain dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.

Annuar sebelum ini dilihat cenderung kepada Bersatu kerana mempertahankan kerjasama Umno dengan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketika pucuk pimpinan Umno dilihat berusaha memutuskan kerjasama dengan Bersatu, Annuar sebaliknya mempertahankannya.

Annuar merupakan setiausaha agung Umno sebelum tempatnya digantikan oleh Ahmad Maslan pada Mac 2020.

Pada 5 Jan lalu, BN memecat Annuar sebagai setiausaha agung gabungan itu dan tempatnya turut digantikan Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung bersama Muafakat Nasional (MN).

 

Annuar sebelum ini mendedahkan kesahihan surat sokongan Umno terhadap Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri yang ditandatangani Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Annuar berkata dia mendedahkan mengenai surat berkenaan kerana tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin Umno menyokong presiden PKR itu.

Dalam pada parti itu, Annuar berkata tindakan menghasut supaya membenci sesama parti Melayu sedang rancak dilancarkan pihak tertentu, dan perkara itu “disambut secara tak sedar oleh sesetengah orang Melayu sendiri”.

“Kita wajib terus berusaha agar penyatuan dan muafakat parti dan orang Melayu mesti dijadikan realiti. Tanggungjawab ini bukan sekadar satu strategi politik, tapi satu jihad dalam menunaikan perintah Allah SWT,” katanya.

Sehubungan itu, Annuar berkata Umno wajib memimpin dengan menerapkan perpaduan dan muafakat.

“Apakah fitrah manusia lebih cenderung kepada permusuhan dari perdamaian?

“Dua anak Adam, di awal kejadian manusia pun berbalah satu sama lain. Namun mendamaikan antara pihak yang berbalah, adalah perintah agama,” katanya lagi.



No comments: