Umno ‘lebih rosak’ kalau Hisham TPM, kata pemimpin parti


Seorang pemimpin Umno negeri berkata pelantikan Hishammuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri akan “lebih merosakkan” perpaduan parti itu.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno negeri bimbang pelantikan Hishammuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri akan merugikan parti itu susulan desas-desus, menteri luar negeri itu sedang dipertimbangkan untuk jawatan berkenaan.

Pemimpin itu, yang tidak mahu namanya dipetik berkata, menjadikan Hishamuddin sebagai “orang nombor dua” negara mirip dengan tindakan “Peja melantik Aznel”, merujuk kepada keputusan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politiknya.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini mengatakan pelantikan Aznel, yang dibuat tanpa merujuk kepada kepimpinan Umno Perak, salah satu sebab Faizal digulingkan.

Tetapi sumber itu memberi amaran yang dalam kes Hishammuddin, akibatnya terhadap perpaduan Umno akan “lebih merosakkan”.

“Tindakan ini pasti mengundang reaksi dan pembalasan yang tidak dapat dielakkan daripada anggota dan ahli Parlimen yang lain.

“Seperti apa yang dilakukan Peja, pelantikan ini, jika berlaku, akan jelas menunjukkan bahawa kepimpinan Umno dalam parti itu tidak relevan, dan kewujudan Umno dalam gabungan hanyalah sebagai penumpang,” kata sumber itu.

Sebelum ini, memetik beberapa sumber, The Malaysian Insight melaporkan Hishammuddin – Ahli Parlimen Sembrong dan bekas naib presiden Umno – dijangka dinamakan sebagai timbalan perdana menteri dan mungkin akan dilantik seawal minggu ini.

Tambah sumber itu, pelantikan Hishammuddin boleh memberi kesan kepada parti itu dalam pilihan raya akan datang kerana ia akan melemahkan sokongan akar umbi, terutama jika ia dianggap tidak memberi manfaat kepada parti itu.

“Tanpa sokongan akar umbi Umno, langkah untuk menjadikan Hishammuddin sebagai TPM akan membawa padah kepada parti,” kata sumber itu.


No comments: