HISHAMMUDDIN TAK SESUAI DILANTIK TPM


 Entah kenapa, di sebalik ketegangan hubungan UMNO dengan Bersatu yang kian memuncak ketika ini, tiba-tiba muncul perkhabaran mengatakan Hishammuddin Hussein bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perlantikan itu dikatakan sebagai pilihan terakhir Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan kerajaan PN yang dipimpinnya daripada dijatuhkan oleh UMNO.

Dikatakan lagi, selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin kemudiannya akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri kerana Muhyiddin dikhabarkan ingin berundur dan berehat berikutan masalah kesihatannya.

Diperkhabarkan juga, dengan proses tersebut, kerajaan PN akan terus kekal di mana dikatakan Pejuang, Warisan, GPS dan majoriti Ahli Parlimen UMNO akan bergabung bersama PN yang kini dianggotai Bersatu, Pas, Star dan SAPP.

Dengan itu, PN disebut akan terus kekal sebagai kerajaan sehinggalah PRU akan datang dan Muhyiddin dapat menjaga air mukanya daripada dijatuhkan.

Cuma yang tidak disebut dalam perkhabaran itu ialah selepas saja Hishammuddin memegang jawatan Perdana Menteri, beliau akan melantik pula Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bukankah sebenarnya Hishammuddin dan Azmin adalah bersahabat baik dan lebih mungkin kedua-duanya bergandingan berbanding melantik Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden Bersatu atau Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu, sebagai timbalannya jika benar beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri?

Tetapi, kenapa tidak disebut tentang gandingan Hishammuddin dan Azmin itu?

Jawapannya mudah, kalau disebut Azmin bakal dilantik ke jawatan nombor dua itu, bermakna akan rosaklah segala-galanya kerana bekas Timbalan Presiden PKR itu kini merupakan antara sosok poliitik paling dibenci dalam negara ini.

Maka itu, untuk tujuan mempromosikan Hishammuddin, terpaksalah nama Azmin tidak dikaitkan sama.

Soalnya, benarkah Hishammuddin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Muhyiddin?

Kecuali jika Muhyiddin benar-benar tidak waras, melantik Hishammuddin sebagai timbalannya adalah mustahil sebenarnya.

Ini kerana melantik pemimpin UMNO ke jawatan itu sudah pun terlambat pada waktu ini sebab UMNO sudah pun meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu dan hanya menunggu untuk disahkan saja lagi dalam Perhimpunan Agung pada 31 Januari depan.

Lagi pula, sudah beberapa kali isu tersebut diperkatakan sebelum ini, malah turut diangkat maklum kepada Muhyiddin, malangnya tiada persetujuan dicapai.

Isunya ialah kalau perlantikan itu dalam konteks kerjasama antara Bersatu dengan UMNO untuk mengukuhkan kerajaan PN, pemimpin yang dilantik mesti mewakili hireaki parti.

Kalau mengikut duluan di mana Bung Mokhtar yang ada kes mahkamah boleh dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, tidak ada sebab sebetulnya Zahid Hamidi yang juga sedang dalam perbicaraan tidak boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apa bezanya Zahid Hamidi dengan Bung Mokhtar?

Begitu pun, jika Muhyiddin tetap tidak mahu melantik Zahid Hamidi, UMNO masih ada Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Ismail Sabri, Mahadzir Khalid dan Khaled Nordin untuk dilantik ke jawatan itu.

Walaupun Mohamad Hasan dan Khaled bukan Ahli Parlimen, kedua-duanya boleh dilantik sebagai Senator untuk membolehkan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Namun, Ismail Sabri yang kini memegang jawatan Menteri Kanan Pertahanan dan Mahadzir Khalid, Pengerusi TNB di mana kedua-duanya adalah Ahli Parlimen, tiada masalah sama sekali jika mahu dilantik mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, bahkan Ismail Sabri jauh lebih layak berdasarkan kekananannya mewakili UMNO dalam kerajaan ketika ini.

Jadi, kenapa mesti nama Hishammuddin yang disebut?

Apakah Menteri Luar itu benar-benar layak atau kelayakannya semata-mata kerana beliau anak bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn?

Dalam hireaki UMNO, Hishammuddin tiada apa-apa jawatan kecuali baru-baru ini dilantik sebagai Bendahari BN.

Maka, memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Hishammuddin tidak sesuai langsung serta tidak menggambarkan untuk mewujudkan hubungan baik antara UMNO dengan Bersatu.

Untuk mewujudkan hubungan baik dan mengekalkan kerajaan PN, pemimpin UMNO yang sepatutnya dilantik Timbalan Perdana Menteri adalah Presiden UMNO sendiri.

Selain itu, disebabkan Muhyiddin dan Hishammuddin datang daripada negeri yang sama iaitu Johor, ketidaksesuaian itu tambah ketara lagi seolah-olah tiada pemimpin negeri lain yang lebih layak.

Malah kalau benar pun Muhyiddin mahu melantik Hishammuddin, beliau akan lebih cepat lagi dijatuhkan oleh UMNO dan akhirnya dengan Hishammuddin sekali akan dijatuhkan sama.

Bagi kepimpinan UMNO hari ini, yang mereka mahu ialah jawatan Perdana Menteri dan siapa saja jadi penghalang, mereka itulah musuh sebenarnya.

 (Shahbudindotcom 11/01/2021)



No comments: