Biar PH tubuhkan kerajaan perpaduan baru yang stabil, kata Mahfuz

 

Pakatan Harapan dan parti lain patut bentuk kerajaan perpaduan, kata Mahfuz Omar.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan patut dibenarkan menubuhkan kerajaan perpaduan baru dengan menjemput parti lain dalam gabungan baru, kata naib presiden Amanah Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, partinya menolak cadangan untuk mengadakan pilihan raya mengejut, sebaliknya menganggap kerajaan stabil diperlukan untuk menyelesaikan masalah negara seperti krisis Covid-19, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan sedia ada pimpinan presiden PPBM Muhyiddin Yassin satu kegagalan, dan hilang sokongan seperti dilihat dalam pengumuman Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub Sabtu lalu bahawa beliau tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pengumuman Ahmad Jazlan itu berkemungkinan mengurangkan majoriti tipis Perikatan Nasional di Dewan Rakyat.

” Tiada jalan keluar untuk selesaikan krisis politik ini selain Muhyiddin melepaskan jawatan,” Mahfuz dipetik berkata.

Peletakan jawatan Muhyiddin akan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik perdana menteri baru dalam kalangan ahli Parlimen berdasarkan pengumuman ketua pembangkang, Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Kita perlukan kerajaan yang kukuh, tidak boleh lagi perbezaan tipis dengan dua atau tiga kerusi,” katanya.

Keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri turut dipertikaikan pada November lalu oleh ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga tidak hadir ketika undian belanjawan 2021.

Sejak itu, lebih daripada tiga perempat bahagian Umno menolak bekerjasama dengan PPBM pimpinan Muhyiddin.

Bulan lalu, presiden Amanah Mohamed Sabu berkata, parti pembangkang patut membentuk gabungan baru untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.



No comments: