KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata kepada 4.8% pada Nov 2020 berbanding bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur seramai 764,400 orang, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan secara berperingkat pada bulan itu dengan aktiviti ekonomi terus beroperasi mengikut prosedur operasi standard ketat, menyaksikan penurunan kecil bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya.
“Antara lainnya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu,” kata beliau dalam kenyataan.
Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada Nov meningkat sebanyak 2.2% atau 16,200 orang kepada 764,400 orang berbanding Okt seramai 748,200 orang.
Penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3% iaitu seramai 637,700 orang (Okt 2020: 623,100 orang).
“Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3% kepada 126,700 orang (Okt 2020: 125,100 orang),” katanya.
Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja susut sebanyak 11,000 orang kepada 15.20 juta orang pada Nov (Okt 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.
Menurutnya, pada bulan tersebut, kategori pekerja meningkat 0.2% (+19,600 orang) kepada 11.78 juta orang dan sebaliknya golongan bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6%kepada 2.41 juta orang.
Beliau berkata, secara keseluruhan, kedudukan penawaran tenaga buruh mencatat perubahan kecil berbanding bulan sebelumnya dengan tambahan sebanyak 5,200 orang kepada 15.96 juta orang pada Nov 2020, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun sedikit sebanyak 0.1 mata kepada 68.4% (Okt 2020: 68.5%).
“Bilangan mereka di luar tenaga buruh meningkat 0.4% (+27,100 orang) kepada 7.37 juta orang (Okt 2020: 7.35 juta orang). Antara lainnya, peningkatan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor keluarga yang memerlukan aktiviti mencari pekerjaan ditangguhkan untuk seketika,” katanya.
Menurut Mohd Uzir, secara keseluruhan, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, adalah dijangkakan permintaan buruh lebih perlahan pada Dis 2020.
“Penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini,” katanya.