Bila Menteri Pendidikan nak bagi 150,000 laptop kepada pelajar?



POSTED BY AMIR WRLR

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan kelewatan kerajaan menyediakan 150,000 laptop untuk membantu murid dan pelajar menyertai sesi persekolahan melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, ketika ini ramai murid yang tidak dapat mengikuti kelas dalam talian kerana mereka tidak mempunyai peranti atau tidak mempunyai capaian internet yang mencukupi.

Disebabkan itu, beliau berkata KEADILAN Bayan Baru berusaha membeli komputer riba terpakai, iPad dan telefon pintar untuk diberikan kepada golongan memerlukan, malah merekrut beberapa sukarelawan untuk memperbaiki dan memformat semula peranti ini.

"Setelah lebih kurang seminggu bekerja keras, kami bersyukur apabila menerima lebih kurang 30 peranti, baru dan lama. Lebih kurang 20 peranti lagi akan sampai dan menunggu untuk dikumpulkan.

"Ucapan terima kasih yang tulus saya ucapkan kepada semua penderma yang baik hati, yang telah menderma alat ini. Kebaikan mereka diberkati," katanya.

Namun, Sim berkata ia menjadi perkara yang membimbangkan apabila ada sekolah yang menghubungi pihaknya untuk mendapatkan lagi alat peranti untuk PdPR.

"Semasa Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz telah mengumumkan anggaran RM300 juta untuk membeli 150,000 komputer riba yang akan diberikan kepada sekolah.

"Sekolah telah bermula lebih dari 2 minggu, namun, sehingga hari ini, masih belum ada tindak balas dari MoF atau KPM mengenai komputer riba ini.

"Ini adalah satu kegagalan," katanya.

Sim berkata, kerajaan sepatutnya lebih bersedia kerana sekolah dan murid-murid sememangnya memerlukan peranti sebelum sesi persekolahan bermula memandangkan pendekatan PdPR sudah pun dibuat sejak tahun lepas.

"Kerajaan semestinya sudah mengetahui berapa banyak murid-murid dan berapa banyak peranti yang diperlukan kerana para guru sudah mengetahui siapa yang mengikuti kelas dalam talian.

"Data ini semestinya cukup bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan untuk membuat perancangan ke depan. Kegagalan menyediakan peranti bukan mengenai wang. Ini adalah kegagalan pelaksanaan. Kegagalan itu datang daripada kepimpinan 2 kementerian ini," katanya.

Sehubungan itu, Sim menggesa kerajaan menangani isu laptop ini dengan segera bagi memastikan generasi baharu tidak keciciran pelajaran.

"Saya marah kerana saya sendiri merupakan seorang bapa. Anak-anak mahu belajar. Saya sedih melihat banyak anak-anak yang tidak mendapat peluang pendidikan kerana mereka tidak mempunyai komputer riba dan kerajaan lambat menyediakannya.

"Sekarang ahli parlimen pembangkang membantu. Tetapi ada had yang kita boleh lakukan. Peruntukan ahli Parlimen telah dibatalkan oleh kerajaan. Namun, kita masih berusaha sedaya upaya untuk melakukan sebanyak mungkin.

"Kami menganggap Menteri Pendidikan bertanggungjawab kerana gagal melaksanakan perolehan komputer riba dan kami Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap masalah pemberian dana.

"Sekiranya Parlimen tidak digantung, kita boleh mempersoalkan kerajaan di Dewan Rakyat. Namun, kerana darurat politik, kita tidak dapat mempersoalkannya.

"Namun, mereka tetap harus menjawab kepada rakyat, kerana kita pembayar cukai yang membayar komputer riba ini," katanya.

 

No comments: