Desakan sidang khas Parlimen dilihat strategi cabar keabsahan kerajaan Muhyiddin, kata penganalisis

 

Desakan sidang khas dipercayai mempunyai beberapa strategi.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan desakan sidang khas Parlimen oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim adalah bagi mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan tidak mempunyai majoriti.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata ini antara strategi dilihat ke atas desakan itu selain mahu membincangkan beberapa isu dalam menangani Covid-19.


“Anwar mengulangi desakan sidang khas Parlimen atas persetujuan Agong dijangka mempunyai beberapa strategi.

“Pertama adalah untuk membincangkan beberapa isu menangani Covid-19 agar berlaku semak dan imbang, dan lebih telus dalam proses pembuatan keputusan daripada pembelian, pembelanjaan, peruntukan dan keputusan melibatkan kepentingan rakyat dan kesihatan awam,” katanya .

Awang Azman juga berkata jika langkah untuk mencabar kedudukan keabsahan kerajaan PN berjaya, bermakna perdana menteri terpaksa berundur dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan membuat pertimbangan untuk melantik perdana menteri baharu.

Katanya, dengan situasi ini Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan cuba mempertahankan kedudukannya sebagai perdana menteri dan kerajaan PN.

“Ini dengan cuba melengah-lengahkan sidang parlimen dan memastikan tindakan balas akan dilakukan terhadap Pakatan Harapan dan beberapa pemimpin Umno yang tak bersetuju dengan kepemimpinannya,” katanya.

Semalam, Anwar sekali lagi mendesak sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan beberapa isu untuk menangani Covid-19.

Beliau berkata, sidang khas itu perlu mendapat persetujuan Agong.

Sementara itu, bekas ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata jika persidangan Parlimen untuk membahas isu cara kerajaan menangani pandemik, maka seeloknya rayuan dilakukan kepada Agong.

Bagaimanapun beliau berkata semua Ahli Parlimen perlu membuat perakuan tidak akan menggunakan persidangan ini untuk mempromosikan bahawa perdana menteri sudah kehilangan majoriti wakil Dewan Rakyat.

Azmi Hassan.

“Tidak perlu berahsia lagi salah satu sebab utama darurat ialah untuk elak cabaran kepada perdana menteri supaya kerajaan dapat tumpu penuh perhatian hal pandemik.

“Penting perbahasan mengenai pandemik dibuat kerana pembangkang mendakwa mereka tersisih dalam penggubalan dasar menangani kesan pandemik,” katanya.

Azmi berkata kerajaan ketika ini seolah-olah hilang kawalan dan keyakinan.

Katanya, keyakinan perlu diberi kepada rakyat dan salah satu cara terbaik ialah penglibatan semua ahli Parlimen.


No comments: