Kelantan tiada perancangan baiki bekalan air bersih?
Penutupan Loji Rawatan Air Merbau Chondong, Pulai Chondong menimbulkan rasa tidak senang kepada 32,000 pemegang akaun Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang terjejas.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, penutupan sehingga sebulan loji itu dianggap terlalu lama dan menyusahkan rakyat.
Katanya, loji tersebut pernah ditutup tahun lalu untuk membaiki kebocoran, namun hanya untuk tempoh 3 hari.
“Exco Kerja Raya Negeri beritahu Loji Rawatan Air di Merbau, Pulai Condong akan ditutup selama sebulan kerana mahu baiki kebocoran besar
“Apa yang saya tengok, loji yang sama pada tahun lepas telah ditutup pada 27 – 29 Ogos untuk baiki kebocoran
“Namun kini keluar lagi kenyataan AKSB akan menutup loji di Merbau yang akan menyebabkan 32,000 pengguna terjejas teruk
“Kita lihat dengan keadaan PKP semua orang duduk rumah, banyak pakai air, adakah boleh selesai dengan kerajaan hantar air secara jangka pendek guna tangki di beberapa tempat?” tanyanya.
Baru-baru ini Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Azami Mohd Nor memberitahu AKSB mengambil masa sehingga sebulan untuk membaiki kerosakan di loji Merbau Chondong.
Pihak AKSB katanya, akan menyediakan tangki statik sejumlah 49 buah dengan kapasiti 200 hingga 2,000 gelen dan diletakkan di kawasan terjejas membabitka 30 lokasi di Jajahan Machang, 12 di Jajahan Pasir Puteh dan tujuh lokasi di Jajahan Kota Bharu Selatan.
Namun menurut Zinda, masalah air di Kelantan bukanlah perkara baharu. Manakala Kerajaan Negeri pula, katanya seolah-olah tidak mempunyai pelan penyelesaian jangka panjang biar pun pada tahun lalu Pas telah berada dalam kerajaan pusat yang mempunyai banyak peruntukan.
“Masalah air di Kelantan kita tengok semakin hari semakin teruk. Bukan semakin bagus.
“Kita di Kelantan sudah berpuluh tahun hadapi masalah bekalan air, rawatan air bersih, tiada bekalan dan sebagainya
“Baru-baru ini, Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man beritahu nak selesai masalah air di Kelantan makan masa 30 tahun. Macam mana bila ada kuasa dia beritahu macam tu pula?” tanyanya.
Justeru, Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu itu mempersoalkan apakah perancangan strategik Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah air.
Ujarnya, rakyat Kelantan tidak boleh dibiarkan berterusan mengepam air bawah tanah sebagai jalan penyelesaian kerana kaedah tersebut mahal dan tidak dipraktikkan di negeri lain.
“Kerajaan Kelantan melalui AKSB, adakah mereka punya perancangan atau pun program cakna untuk rakyat Kelantan?
“Hari ini rakyat sudah kalis (terbiasa) minum air tebeng (keruh), mandi air tebeng. Kita mohon AKSB cakna dan utamakan penyelesaian masalah air jangka panjang.
“Rakyat ramai yang telah keluar duit peribadi untuk boring air bawah tanah. Itu bagi yang ada kemampuan, bagaimana yang tiada kemampuan. Kos boring air memakan modal besar. Kena sediakan tangki, proses boring kena upah orang dan sediakan pam air.
“Jadi kita harap AKSB dan Kerajaan Negeri ada perancangan memberi bekalan air bersih yang sempurna kepada seluruh rakyat Kelantan,” katanya lagi.