Sidang Parlimen Separuh Hari Cuba Elak Undi Tidak Percaya?



Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menganggap jadual sidang Dewan Rakyat yang dipendekkan kepada separuh hari atas alasan mahu mengelakkan Ahli Parlimen daripada terdedah virus Covid 19 adalah tidak munasabah. Bagi Hassan, terdapat banyak cara untuk memanjangkan waktu sidang Parlimen, termasuk dewan disanitasi dua kali sehari. Katanya ketika ini dewan disanitasi pada pukul 7.00 hingga 9.00 pagi. Hassan mencadangkan sanitasi dilakukan sekali lagi pada waktu rehat pukul 1.00 hingga 3.00 petang. Sidang boleh bersambung sehingga ke malam sebagaimana pada waktu sebelum pandemik Covid 19. Menurut Hassan lagi, mesyuarat penggal ketiga Parlimen sangat penting kerana begitu banyak pindaan undang-undang yang perlu diluluskan, pembentangan Belanjawan 2021 dan juga membahaskan usul Undi Tidak Percaya atau Undi Percaya. Dalam hal ini, kata Hassan, tidak salah sekiranya Pembangkang bertanggapan memendekkan tempoh sidang dewan mungkin dilakukan agar tidak ada masa untuk dewan membahaskan usul Undi Tidak Percaya. Hassan bersetuju dari segi teknikalnya Undi Tidak Percaya agak sukar dibahaskan. Namun katanya, sebagai sebuah kerajaan demokrasi sepatutnya usul-usul penting dibahaskan terlebih dahulu dan tidak boleh ditangguhkan begitu sahaja tanpa dibahas.



No comments: