KISAH LEBAI MUDA PANDAI FITNAH


 HISHOMUDDIN BAKAR

Pengajaran:

Pernah terserempak dengan "Ustaz Muda" yang bersemangat menyampaikan mesej tarbiah. Aku dijemput sama ke program berkenaan sebagai penceramah jemputan. Oleh kerana tiba lebih awal, aku turut serta dalam kuliah "Ustaz Muda" itu.

Sedang asyik mendengar kuliahnya, lamunanku tersentak. Tidak semena-mena namaku disebut. Konotasi buruk diberikan seiring dengan namaku disurahkan.

Sebelum ini label negatif sebegitu aku sudah lali sejak bergelumang dalam dunia tarbiah mahasiswa. Biasanya kudengar secara jauh-jauh. Hujung-hujung telinga saja, tetapi kali ini aku dapat dengar dengan jelas. Tepat di depan mata pula.

Hatiku bertanya, masakan Ustaz Muda lulusan timur tengah, bumi anbiya' ini menuturkan bicara nista sebegini rupa, bisikku.

Lalu aku mengangkat tangan ingin bertanya dan mencari kepastian. Dia meminta aku meneruskan pertanyaan. Mungkin padanya aku ada kemusykilan.

Aku terus bertanya kepadanya, "Ustaz kenal ke Ustaz Hisom tu?".

Pertanyaanku dijawab pantas. "Ana sangat kenal dia akhi, dia bla, bla, bla...", meneruskan ngomelan tanpa asas. Tidak mahu kunyatakan ngomelannya di sini.

Aku kebingungan. Dia bicara dusta pada sosok yang berada di hadapannya, dibilangnya kenal rapat denganku, sedangkan aku tidak mengenalinya dan jelas dia juga tidak mengenaliku! Bagaimana boleh berkata bahawa dirinya amat mengenaliku. Pelik bukan?

Mau sahaja amarahku memberontak. Ingin tangan kananku ku hayun ke kepala benak dan bebal Ustaz Muda ini. Tapi aku lihat kiri dan kananku. Aku istighfar, peserta program hadir untuk program kebaikan bukan untuk melihat pergaduhan penceramah.

Selesai program ku temani beliau ke keretanya. Aku perkenalkan diri, "saya saudara kamu dalam Islam, Hisommudin Bakar atau Hisom yang enta sebut dalam ceramah enta tadi", kataku tepat kepadanya.

Dia diam tanpa bicara, menghidupkan enjin dan berlalu begitu sahaja.

 

No comments: