Wabak Covid19 rupa-rupanya ada rahmat yang berganda bersama derita yang dibawanya.
Di sebalik Covid19 menjadi alasan untuk Muhyiddin Yassin mencipta pelbagai helah untuk melanjutkan hayat politiknya, pihak lain pun turut mengaut nikmat daripadanya.
Jika Muhyiddin boleh menggunakan Covid untuk menunda-nunda Sidang Parlimen, menjadikan sidang hanya sehari, tempoh sidang dipendekkan hingga jam 2 dan terakhir menghadkan cuma 80 orang menghadirinya bagi mengelak undi tak percaya, Pas pula dapat nikmat naik gaji di ketika ramai orang lain jadi penganggur dan hilang kerja.
Alasan naik gaji pula konon untuk merapatkan jurang dengan rakan-rakan sejawatan di negeri-negeri lain yang lebih kaya.
Nampak lagak ini tak ubah macam anak orang miskin yang tak pernah papa jiwanya untuk ada wang belanja yang sama seperti anak-anak orang kaya.
Dunia…dunia…
Walau negeri defisit dan pendapatan kurang daripada belanja, sebelum ini Mercedes juga telah dibeli untuk kebanggaan jiwa untuk menunjukkan mereka berbeza daripada rakyat marhaen biasa.
Alhamdulillah…inilah agaknya bentuk kepimpinan Melayu dan Islam yang boleh menjadi kebanggaan semua, walau rakyatnya sendiri lebih banyak menangis daripada ketawa.
(Shahbudindotcom 06/11/2020)