Sekolah, kolej vokasional seluruh negara tutup hingga hujung tahun

 

Fareez Azman
Sekolah, kolej vokasional seluruh negara tutup hingga hujung tahun
Jelas Mohd Radzi, tarikh pembukaan semula sekolah dan kolej vokasional di bawah KPM adalah pada 20 Januari, 2021. (Gambar Fail)
PUTRAJAYA: Kesemua sekolah dan kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan ditutup, bermula 9 November ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.
Dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini, beliau berkata, arahan itu turut terpakai kepada negeri-negeri yang tidak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB, iaitu Sarawak, Kelantan, Pahang, dan Perlis.
Jelasnya lagi, penutupan itu akan berterusan sehingga hari akhir persekolahan mengikut Takwim 2020, iaitu 17 Disember bagi negeri kumpulan A, dan 18 Disember bagi negeri kumpulan B.
“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.
"Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya lagi.
Bagi murid yang tinggal di asrama pula, Radzi berkata, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.
“Sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Radzi berkata, tarikh pembukaan semula sekolah masih mengikut Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, iaitu pada 20 Januari, 2021.
Beliau berkata, kesemua murid sekolah rendah, murid Tingkatan 1, 4, 5, dan 6, termasuk murid Kolej Vokasional akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut, manakala murid Tingkatan 2, dan 3, pula hanya dibenarkan menjalani sesi home-based learning, sehingga 8 Mac, 2021.

No comments: