TERKINI!! BELANJAWAN 2021; PANDANGAN ORANG POLITIK

 

BOB KELANANG

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membentangkan Belanjawan 2021 semalam, dirangka bekas pegawai bank yang kemudian menjadi menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dengan harapan yang tinggi ketika negara dilanda Covid-19, banyak cadangan dikemukakan parti bukan PN. Artikel ini melihat apa kata sebahagian parti politik tentang belanjawan berkenaan.

Pandangan mereka – yang disunting untuk memudahkan pemahaman – adalah seperti berikut:

#Ahmad_Maslan (BN, Ahli parlimen Pontian)

Setiausaha Agung Umno, bekas timbalan menteri kewangan

Saya puas hati dengan belanjawan ini. Saya cuba baca kali kedua selepas dengar kali pertama untuk mendalami dan memahaminya. Dari segi belanjawan pengembangan itu tepat, kerana kita nak meningkatkan ekonomi kepada pemulihan lengkung V – dari pertumbuhan negatif kepada positif.

Umno minta banyak perkara dan kita dapat sikit di sini, sikit di sana, tidaklah sebiji-sebiji seperti setiap yang kita pohon. Kita mohon moratorium, dapat yang bersyarat begitu. Kita mohon (pengeluaran) KWSP, pun dapat syarat-syarat. Kita pohon (peluang) pekerjaan.

Nak kata kita tak berpuas hati pun tak boleh juga. Kita kena memahami keadaan apa yang berlaku, bahawa sekarang ini pertumbuhan ekonomi negatif 4.5.

Akaun 1 dan 2 kalau digabungkan, boleh keluarkan RM12,000 daripada KWSP bagi yang layak, (atau) RM1,000 sebulan bagi yang hilang kerja. Mereka juga ada skim hilang kerja dan sistem insurans pekerjaan (SIP).

Harapnya dia boleh dapat kerja (daripada) 500,000 peluang yang kerajaan nak jana tahun depan.

Tentang moratorium pinjaman, kerajaan sebut bahawa 90 peratus permohonan lanjutan moratorium diluluskan. Tentunya ini termasuk M40 yang memohon lanjutan. Mereka yang terjejas pendapatan mereka mestilah memohon lanjutan moratorium.

#Ong_Kian_Ming (PH, Ahli parlimen Bangi)

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, bekas pegawai khas kepada menteri kewangan

Saya tak nampak sebarang idea segar untuk membantu negara menjadi lebih kuat selepas mengharungi krisis Covid-19. Isunya bukan meminjam banyak sangat, tapi apa yang kita buat dengan pinjaman itu.

Peruntukan dana Covid-19 bagi 2021 hanya RM17 bilion dibandingkan dengan RM38 bilion untuk 2020. Defisit belanjawan 2021 diunjurkan 5.4 peratus berbanding 6 peratus pada 2020.

Memandangkan ketidaktentuan ekonomi untuk 2021, ada hujah kuat bahawa kita patut mempunyai defisit belanjawan lebih besar untuk 2021 dan berbelanja lebih untuk memulihkan ekonomi, terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana yang paling teruk terkesan.

Insentif pelaburan langsung asing (FDI) takkan berkesan jika pelabur tak dibenarkan bergerak dan masuk ke Malaysia. Situasi ini hanya akan dipulihkan jika Covid-19 – terutama di Lembah Klang – dapat dikawal.

Tapi buat masa sekarang, Malaysia patut mula mempersiap kerja-kerja asas untuk lingkungan perjalanan perniagaan buat negara-negara yang situasi Covid-19 terkawal seperti China, Taiwan, Korea dan Jepun.

Ini supaya apabila keadaan kita dapat ditangani, kita boleh cepat-cepat alu-alukan kedatangan pelabur dari negara-negara berkenaan.

Pada masa yang sama, kita jangan lupa insentif untuk pelaburan langsung domestik (DDI) yang juga merupakan pemangkin penting untuk kegiatan ekonomi di negara ini.

Perlu sokongan yang lebih

Kebanyakan insentif diumumkan kerajaan PN, termasuk belanjawan ini, setakat ini sangat bertumpukan FDI dan tak cukup penekanan dan insentif kepada DDI.

Saya bersetuju dengan subsidi yang diberikan untuk penjanaan peluang pekerjaan, terutama di sektor swasta, tapi saya akan tunggu lebih perincian diumumkan untuk program ini supaya saya boleh bandingkan dengan inisiatif Malaysia@Work oleh PH dalam Belanjawan 2020 yang turut mengsubsidikan peluang pekerjaan, tetapi dalam cara yang lebih spesifik.

Adakah saya sokong belanjawan ini? Saya kena tunggu keputusan kepemimpinan PH.

#Armin_Baniaz_Pahamin

Ahli jawatakuasa penaja Pejuang, usahawan automotif

Secara umum, ia merupakan belanjawan populis. Kebimbangan utama ialah perbelanjaan yang sangat tinggi meskipun dengan unjuran penurunan hasil. Tak ada usaha murni untuk kurangkan kos.

Emolumen daripada semua menteri adalah lebih tinggi. Antara 2018 dan 2019, terdapat penjimatan kos 23 peratus, tapi sekarang ia akan makin meningkat.

Saya tak bersetuju dengan keputusan untuk tak melanjutkan program moratorium. Terdapat 840,000 penganggur dengan 200,000 daripadanya diberhentikan baru-baru ini.

Sepatutnya moratorium lebih dari tiga bulan, sebelum mereka ini dapat pulih (kewangan) dan membayar semula pinjaman mereka.

Pelancongan ialah salah satu industri yang paling teruk terjejas. Pelan subsidi upah tiga bulan ini ibarat suku saja pil paracetamol untuk sakit kepala yang teruk. Ia tak menyelesaikan masalah, atau mengurangkan sakit. Industri ini perlukan lebih sokongan.

Insentif untuk program perantisan buat graduan baru pula seperti subsidi untuk tempoh percubaan. Yang bahayanya, apabila program tamat dalam masa tiga bulan, mereka kembali menganggur.

Program itu sepatutnya dilanjutkan selama enam bulan agar majikan dapat betul-betul menilai pekerja mereka, melatih dan terus menggaji mereka meskipun tanpa insentif.

Tentang penjanaan peluang pekerjaan, saya percaya kerajaan akan lebih berjaya jika memupuk penganggur untuk menjadi usahawan melalui geran kecil bagi memulakan perniagaan.

Terang-terang tak cukup

Pinjaman murah susah nak dapat kerana perniagaan sedang berdepan kemerosotan ekonomi. Ia takkan membantu PKS. Ia takkan membantu penganggur.

Skim pengeluaran KWSP ialah bukti bahawa kerajaan gagal menangani krisis ini sehingga ke tahap membenarkan orang mengeluarkan simpanan persaraan mereka untuk bertahan. Secara peribadi, saya tak fikir rakyat patut sentuh simpanan hidup mereka.

Kalau saya ahli parlimen, saya takkan sokong belanjawan ini. Kerajaan dah berbelanja lebih daripada yang mereka mampu tanpa ada sebarang usaha untuk potong perbelanjaan mengurus.

#Shahril_Suffian_Hamdan

Ketua penerangan Umno, CEO syarikat gas dan minyak

Defisit belanjawan tidaklah semestinya buruk atau bagus. Dalam masa kegiatan ekonomi mengalami tekanan, defisit sememangnya diperlukan. Saya tak bimbang tentang defisit itu sendiri.

Langkah untuk menangani pengangguran itu OK, cuma saya harapkan strategi yang lebih agresif seperti skim jaminan pekerjaan dengan kerajaan membiayai pekerjaan baru yang wajar dari segi sosialnya (socially desirable).

Saya akui beberapa langkah yang diumumkan memberikan bayangan bahawa ada langkah lebih berani akan menyusul, seperti MyStep (program pekerjaan jangka pendek). Pekerjaan akan diwujudkan, meskipun terhad (kepada 50,000) dan bersifat jangka pendek. Lanjutan subsidi upah juga disambut baik.

Pencarum KWSP sekarang boleh mengeluarkan RM500 sebulan, tapi itu terang-terangan tidak cukup. Ia tak sepatutnya menjadi sumber bantuan utama pun.

Ia hanya bantuan tambahan kepada suntikan tunai fiskal yang membolehkan bantuan-bantuan lain diberikan seperti subsidi upah dan subsidi sektor lain secara spesifik.

Dari segi peruntukan kerajaan kepada usahawan bumiputera, ia harus menangani kelemahan secara spesifik. Contohnya strategi perolehan atau pengurusan rantaian bekalan.

Dari segi kebolehkerjaan bumiputera, ia harus tangani hal seperti kemahiran insani (soft skills). Tujuan akhir mestilah membina keupayaan.

Dari segi moratorium pinjaman, masuk akal juga (kerajaan) menyasarkan B40. Moratorium keseluruhan yang terlalu lama ada keburukannya juga.

#Sim_Tze_Tzin (PKR-Ahli parlimen Bayan Baru)

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani

Tak ada apa yang boleh memberikan inspirasi dalam Belanjawan 2021. Tak ada idea segar atau usaha agresif untuk memulihkan ekonomi yang semakin tenat.

Banyak inisiatif yang diberikan merupakan sambungan daripada kerajaan PH.

Tapi peruntukan dalam banyak kementerian dah dikurangkan. Projek pula banyak ditumpukan di kubu PN dan kawasan-kawasan penyokong kuat merek. Contohnya, (projek) jambatan di Marang.

Belanjawan ini membuktikan tiada kesungguhan untuk menambah baik keselamatan makanan.

Malah, subsidi harga padi untuk petani juga berkurangan menjadi 8 peratus dalam belanjawan untuk kementerian pertanian.

Dari segi kebajikan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dah mungkir janji untuk beri RM1,000 kepada semua penerima bantuan.

Contohnya, bantuan kepada golongan kurang upaya ditningkatkan dari RM300 ke RM450, bukannya RM1,000.