MSO
HARI ini ada ruang sedikit untuk mengisi blog setelah sibuk
meyiapkan buku baru beberapa hari lepas. Apa yang hendak disentuh dalam post
kali ini mengenai cadangan kerajaan Kelantan untuk meluluskan rang
undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota
Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980.
Tujuan pindaan ini adalah untuk membolehkan saraan atau gaji
pokok wakil rakyat Kelantan dinaikkan dari RM3,000 hingga RM5,000.
Hari ini setiap orang wakil rakyat Kelantan telah menerima elaun
sebanyak sekitar RM8,000 hingga RM15,000 hasil semakan Enakmen berkenaan pada
2015. Sekiranya pindaan dicadangkan itu diluluskan membolehkan wakil rakyat
Kelantan akan menerima gaji antara RM10,000 hingga RM25,000 seorang.
Ekoran cadangan itu ada beberapa buah NGO seperti PKPIM melihat
cadangan itu sebagai tidak munasabah dan mengharap kerajaan sepatutnya lebih
memikirkan soal nasib rakyat dalam waktu Covid ini daripada memikirkan kenaikan
gaji atau elaun mereka.
PKPIM Kelantan menerusi Yang diPertuanya Muhammad Aqil Iqbal
Mohd Zulkifili berpendapat kerajaan lebih wajar memikirkan soal untuk
menyediakan pekerjaan kepada penganggur dan juga memikirkan masalah ekonomi
rakyat bukannya membuat semakan untuk menaikkan elaun dan gaji.
Parti pembangkang juga turut sama membuat protes dan mengatakan
dukacita ke atas cadangan itu.
Protes dan bangkangan terhadap cadangan pindaan rang
undang-undang itu memang kena dan wajar, kerana kerajaan Kelantan sepatutnya
afdal atau lebih cakna memikirkan rakyat dahulu baru mengenai diri mereka.
Namun saya tidak fikir ianya akan didengar oleh pihak kerajaan Pas Kelantan.
Pindaan itu tetap akan diluluskan secara sebulat suara.
Sebelum ini berbagai protes dan bantahan terhadap
langkah-langkah diambil oleh kerajaan Pas Kelantan yang dikira membebankan
rakyat tetapi ia berlalu begitu saja bagaikan angin lalu. Kerajaan seakan tidak
"berdegis" langsung dengan kritikan dan bantahan itu semua.
Sebenarnya banyak isu-isu belum selesai di Kelantan dan sering
menjadi perdebatan malahan diejek oleh orang luar. Misalnya masalah air bersih
yang sudah berlarutan berdekad-dekad. Dahulu kerajaan memberi alasan kerana
tidak ada wang untuk menyediakan air bersih, tetapi kini setelah mendapat wang
royalti, tetapi masalah air masih juga berlaku.
Masalah air menjadi bahan protes dan ejekan berkabuk oleh
rakyat. Masalah air memalukan negeri Tok Kenali itu di mata orang luar
terutamanya mereka yang melancong ke Kelantan. Macam-macam cara rakyat lakukan
untuk menarik perhatian kerajaan agar mengatasi masalah itu.
Ada yang merakam air keluar daripada paip seperti air tea
"O" dan tea tarik, Milo atau Nescafe dan sebagainya. Ada yang
mengusung "legel" (drum) untuk tadah air hujan apabila Menteri Air
dan Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man cadangkan agar ambil air hujan kerana ia
bersih bersifat air mutlak.
Tetapi segala kritikan dan suara kesedihan dan jeritan itu tidak
dipedulikan. Selain masalah air, kerajaan Kelantan juga dipersoalkan mengenai
tanggungjawab mereka yang lain. Masalah banjir, masalah penyeludupan,
kebersihan, pil kuda, ganja atau masalah-masalah sosial lain dan sebagainya.
Tetapi semua kebimbangan terhadap masalah dan gejala itu tetap
juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan diambil sambil lewa sahaja. Tidak ada
tindakan atau pelan khas dibuat oleh kerajaan negeri untuk mengatasi segala
masalah itu. Sebaliknya ada yang meletakkan kesalahan berlaku itu ke atas bahu
kerajaan Persekutuan. Hari ini alasan itu tidak relevan lagi kerana kerajaan
Persekutuan juga didukung bersama oleh Pas.
Demikian juga dengan pelbagai cukai dan kenaikan tarif bayaran
dikenakan terhadap rakyat, seperti cukai pintu, cukai tanah, masalah parking
dan sebagainya, dinaikkan "berdecun-decun" sampai membebankan rakyat.
Rakyat protes tetapi ia tetap tidak dipedulikan. Rakyat terus ditimpa dengan
beban asmara itu.
Ohya, sebelum ini juga langkah kerajaan membeli 14 buah Mercedes-Benz
untuk kegunaan Exco, MB dan TMB juga menjadi isu dan dipersoalkan. Rakyat
mempersoalkan apakah keperluannya membeli kenderaan mewah itu. Paling mengejut
dan menimbulkan kemarahan orang ramai apabila kerajaan beri pula wang poket
RM50,000 seorang kepada Exco kononnya untuk membantu rakyat?
Nampaknya protes dan bantahan rakyat itu tidak memberi apa-apa
kesan. Suara rakyat Kelantan kepada kerajaan macam suara anjing menyalak Bukit
Marak sahaja. Justeru sudah sampai untuk rakyat Kelantan menggunakan mekanisme
lain untuk membela diri mereka sendiri dan bagi memastikan kerajaan Pas
Kelantan tidak bertindak sessuka hati dan mengambil berat terhadap mereka.
Sebelum itu rakyat Kelantan perlu tahu kenapa kerajaan Kelantan
menjadi degil dan bebal begitu? Tentu ada sebab-sebabnya yang kerajaan Kelantan
jadi macam lembu kenyang bila berhadapan dengan rakyat? Di sini rakyat Kelantan
mungkin terlupa untuk membuat penilaian dan menyedari kenapa kerajaan Kelantan
jadi pasif terhadap suara mereka.
Sebenar jawabnya mudah sahaja, ianya terjadi demikian kerajaan
Pas Kelantan berada dalam keadaan selesa dengan kemenangan besar dalam pilihan
raya lalu. Mereka tidak perlu bimbang dan takut dengan segala kritikan dan
desakan itu kerana ia tidak mengugatkan kedudukan mereka. Jeritan rakyat tidak
berbekas pun kepada mereka.
Dalam politik yang penting bukan dapat memenuhi kehendak rakyat,
tetapi mengekalkan kuasa. Pemikiran itu yang terpasak dalam kepala orang
politik penguasa di Kelantan. Kerana kalau mereka takut pasti mereka alert
kepada rintihan rakyat. Jadi kalau kedudukan dan kuasa mereka sudah stabil
untuk apa mereka pedulikan suara rakyat.
Pas yang memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan sudah 30
tahun. Ia tidak perlu bimbang dengan kekuasaan mereka di Kelantan hari ini
tergugat. Kedudukan mereka dalam DUN sedikit pun tidak terancam dan terganggu
bila mana DUN Kelantan telah sifar pembangkang sekarang ini apabila Umno sudah
bersama mereka. Dahulu ada juga seorang DUN pembangkang yang memantau tindak
tanduk kerajaan dan mengkritik dan merekodkan kritikan dalam handsart DUN,
tetapi kini tidak ada lagi.
Lapan orang Adun Umno yang menang dalam PRU 2018 dulu, bertindak
menjadi pembangkang kini sudah berpelukan dengan Pas. Mereka tidak boleh lagi
diharap untuk menegur kerajaan Kelantan dan membawa suara nurani rakyat. Mulut
mereka juga sudah jadi "birat birung" semuanya. Pindaan Enakmen
dicadangkan itu juga tentu mendapat sokongan padu daripada mereka. Kerana
mereka lebih mementingkan tembolok mereka berbanding perut kempis rakyat.
Solusi untuk mengatasi masalah masih ada. Caranya ialah dengan
menghadirkan pembangkang dalam DUN Kelantan dalam pilihan raya akan datang.
Dengan cara ini sahaja baru suara dan kritikan mereka akan diguna pakai. Untuk
ini rakyat kena berani dan sedia melakukan perubahan, melakukan reformasi.
Justeru dalam pilihan raya akan datang, rakyat Kelantan perlu
mempersiapkan suara mereka menerusi pembangkang, Rakyat Kelantan kena pastikan
dalam 45 orang Adun itu ada pembangkang. Kalau mereka tidak tergamak untuk
menukar kerajaan kerana percaya Pas parti agama, dan rela untuk terus minum air
paip berwajah tea tarik, Milo dan Nescaffe itu cukuplah dengan menghantar
seorang dua pembangkang di DUN Kelantan untuk menjadi suara mereka dan
memperjuangkan masalah rakyat seluruhnya.
Hanya dengan adanya pembangkang yang mengkritik secara rasmi
dalam DUN Kelantan sahaja baru ia dapat menyedarkan kerajaan yang berada dalam
keadaan selesa laksana ular sawa kekenyangan itu. Jadi masalah dan beban
terpikul di pundak rakyat Kelantan tidak akan selesai dan menjadi ringan kalau
mereka tidak berani bertindak dan membuat aksi politik di Kelantan. [wm.kl.
8:39 pm