Datuk Seri Anwar ucap tahniah kemenangan Joe Biden, rakyat AS tolak perkauman

 

Kemenangan calon parti Demokrat Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) diharap membuka lembaran baharu dalam situasi politik antarbangsa yang tidak menentu.

Dalam ucapan tahniahnya, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kemenangan Biden merupakan kejayaan rakyat AS melawan perkauman dan sikap pelampau.

"Tahniah kepada Joe Biden dan Kamala Harris di atas kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat

"Rakyat AS telah memilih untuk bersatu padu, menolak perkauman dan kerajaan yang mengutamakan keamanan, mempertahankan hak asasi serta alam sekitar

"Malaysia dan AS mempunyai sejarah panjang dalam perdagangan dan hubungan dua hala dan saya ikhlas mengharapkan hubungan kedua-dua negara akan bertambah kukuh," ciap Anwar di akaun Twitter rasminya.

Joe Biden mengumumkan kejayaannya pada Sabtu lalu dan berikrar akan menjadi presiden yang berusaha memperbaiki perpecahan dalam negara serta "membuat Amerika kembali dihormati di seluruh dunia".

Beliau yang berumur 78 tahun menjadi presiden tertua dalam sejarah AS, menewaskan Donald Trump dalam pemilihan yang dibayangi pandemik Covid 19.

Biden berikrar akan mengendalikan Covid 19 dengan sebaik-baiknya. Katanya, tanpa mengatasi masalah itu sukar bagi AS membuat kemajuan dan membangun semula ekonomi serta mengembalikan negara seperti biasa.