SASARAN 36 KERUSI PEJUANG.HARAPAN ATAU ANGAN ANGAN


Pengasas Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang, Tun Mahathir Mohamad menyasarkan parti itu mampu memenangi 36 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.
Menurutnya, walaupun jumlah sasaran kerusi itu kecil, namun ia akan menjadi kuasa penentu kepada gabungan mana yang akan menubuhkan kerajaan.
“Pejuang menyasarkan menang 36 kerusi, kemudian kita boleh menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan.
“Kami adalah parti bebas dan tidak terikat dengan sesiapa. Kami tidak fikir mana-mana dua gabungan boleh menang untuk menubuhkan kerajaan.
“Jika kita boleh menang 36 kerusi Parlimen, kita memiliki kuasa untuk menyertai mana-mana gabungan,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, jika ada parti yang mahukan sokongan Pejuang, mereka perlu akur kepada syarat ditetapkan.
“Kita sudah ada senarai lebih 18 Ahli Parlimen secara asasnya di Sabah dan Sarawak, mereka bukan Pejuang tetapi friendly (mesra) dengan kita dan percaya dengan prinsip kita.
“Jadi kami akan bekerjasama dengan mereka dan berharap di Semenanjung juga, akan ada rakyat yang menyokong kita,” katanya lagi.
Kesimpulannya dalam PRU akan datang, Pejuang tidak akan menyertai PH dan tidak juga akan bersama PN.
Sebaliknya, Pejuang akan bertanding bersendirian untuk mencapai matlamat memenangi 36 kerusi Parlimen agar boleh menjadi kuasa penentu kepada pihak yang ingin menubuhkan kerajaan.
Rasionalkah 36 kerusi itu?
Dahulu, ketika Bersatu bersama PH dalam PRU14, berapa jumlah kerusi yang mampu dimenangi?
Bukankah hanya 13 kerusi saja?
Jadi, di mana asasnya dengan bersendian pula Pejuang yakin menang sehingga 36 kerusi dan lebih tinggi berbanding PRU14 lalu dan bersama gabungan yang lebih tersusun?
Apakah Tun Mahathir tidak mengambil iktibar daripada keputusan PRK Slim baru-baru ini?
Ambil saja Langkawi dan Jerlun sebagai contoh, masih bolehkah Tun Mahathir dan anaknya Mukhriz mengekalkan dua kerusi tersebut dengan hanya Pejuang bertanding bersendirian?
Belum lagi di Sri Gading dan Simpang Renggam yang ada pengundi bukan Melayu yang agak tinggi di sana.
Celah mana Pejuang boleh menang sehingga 36 kerusi Parlimen?
Ia suatu harapan atau angan-angan? 
(Shahbudindotcom 03/09/2020)


No comments: