Perkara biasa bagi Pas guna dalil halalkan tindakan pemimpin


Perkara biasa bagi Pas guna dalil halalkan tindakan pemimpin
Siapa sahaja dalam kalangan pemimpin Pas yang melakukan kesalahan pasti akan dibela dengan pelbagai jenis nas dan dalil bagi menghalalkan tindakan mereka.
Sebaliknya, mereka yang menuduh dan melemparkan tohmahan terhadap pemimpin pula akan dilabel sebagai berdosa, hina, jelek dan terkutuk.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar menyindir Pas dengan berkata pembelaan yang dilakukan untuk menutup kesalahan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sudah seperti yang dijangka.
“Beruntung para pemimpin Pas yang ditaksubi oleh pemimpin dan ahli-ahlinya, waima apa juga kesalahan yang mereka lakukan.
“Mengaitkan tindakan Khairuddin dengan burung Hud-hud di zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah hujah baharu yang langsung tidak terfikir oleh akal yang waras. Tidak pernah terduga Mursyidul Am Pas mengeluarkan hujah yang di luar dari akal kerangka pemikiran.
“Alangkah bahagianya pemimpin Pas ini apabila kisah beliau dikaitkan dengan kisah burung Hud-hud yang diabadikan di dalam Al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin mengeluarkan kenyataan mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang ingkar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara
Beliau menyifatkan Mohd Khairuddin ibarat seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman yang membawa keuntungan besar melalui kesalahannya melanggar undang-undang.
Sekiranya begitu kata Fakhrulrazi, Khairuddin tidak sepatutnya meminta maaf atas kesalahannya dan tidak perlu memulangkan gaji Menteri selama empat bulan.
Bahkan, Menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) itu seharusnya diberi anugerah khas atas keberanian dan kebijakannya mendapatkan peluang pelaburan dari Turki.
“Beliau wajar ditambah gaji empat kali ganda atas usaha yang dilakukannya. Jarang ada Menteri yang sanggup melanggar SOP Kuarantin demi ‘negara’ serta memulangkan balik gaji Menterinya.
“Cuma saya musykil jika Khairuddin diumpamakan seperti burung Hud-Hud, siapa pula untuk disamakan dengan Nabi Sulaiman a.s.?
“Apakah maksudnya Perdana Menteri Malaysia selayaknya disamakan dengan Nabi Sulaiman a.s., Presiden Pas atau Mursyidul Am Pas sendiri? Hanya Datuk Hashim Jasin boleh menjelaskan penutup kisahnya itu,” katanya lagi.



No comments: