Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh
Kita baru sahaja menyambut Hari
Kemerdekaan ke-63 dan akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September nanti.
Kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini tatkala umum faham bahawa
bahaya pandemik Covid-19 belum reda.
Namun begitu, semangat patriotisme
tetap ditekankan malah lebih wajar diwar-warkan terutama dalam keadaan
peperangan mengatasi wabak secara sepadu lagi bersama.
Menjadi naratif lazim di mana-mana
untuk “kita jaga kita” malah tidak ada kumpulan yang menentang pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam memecahkan rantaian
wabak.
Kerajaan mahu pun pembangkang
menyokong penuh dua rang undang-undang yang berkait pandemik Covid-19 baru-baru
ini meskipun dipertikai kelewatan dalam pembentangannya.
Soal yang kerap ditanya ialah apakah
kefahaman masyarakat terhadap patriotisme atau patriotik? Apakah ia terkait
kepada tindakan simbolik, seperti mengibarkan jalur gemilang, menyanyi lagu
kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik
pada kenderaan, memakai pakaian bercirikan jalur gemilang atau apa-apa cara
sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara di peringkat umum?
Atau lebih mendalam lagi, apakah
maksud patriotisme ialah suatu kefahaman dan sikap yang menggambarkan perasaan
cinta terhadap tanah air sehingga rela dan berani berkorban demi kepentingan
bangsa dan negara? Apakah ia termasuk mempertahankan maruah dan nama baik
negara serta mencegah apa jua perbuatan yang boleh menjejas atau merosakkan
nama baik itu?
Maksud sebenar patriotisme
Inilah maksud sebenar patriotisme dan
diterjemahkan melalui tindakan simbolik serta perbuatan. Dengan kata lain,
semangat berkenaan dicorakkan dengan ciri-ciri yang mengutamakan kepentingan
negara dan rakyat, bukan kepentingan kelompok dan peribadi semata-mata. Ini
jelas dapat dilihat dalam diri petugas barisan hadapan yang tidak kenal erti
penat dan rela berkorban.
Dalam hal ini, saya menyambut baik
saranan Perdana Menteri supaya menyemarakkan semangat patriotisme dan
keharmonian yang dikecapi selama ini, sekaligus memartabatkan agenda untuk
membina negara. Memang benar slogan “Malaysia Prihatin” amat sesuai dalam
keadaan sekarang terutama untuk memerangi wabak Covid-19 di samping memupuk
perpaduan, kebersamaan dan keharmonian.
Namun, saya percaya sikap tersebut
perlu dibuktikan dan tidak retorik semata-mata. Biarlah konsisten sama ada
sebagai pembangkang atau pemerintah dan tidak diubahsuai mengikut selera
politik.
Miliki jiwa merdeka, bukan
menjajah, khianat
Di samping sikap cintakan negara atas
dasar keharmonian, saya sarankan supaya rakyat memiliki jiwa yang merdeka,
amanah dan bertanggungjawab, bukan jiwa yang menjajah, khianat dan bersembunyi
atas kuasa serta kedudukan.
Juga memupuk semangat islah atau
pembaharuan kepada sistem, dasar dan urusan negara; bukan citra pemikiran
sempit, kuno lagi menjatuhkan di samping berpegang teguh kepada prinsip
keadilan, kebebasan dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan serta
mengamalkannya secara konsisten, bukan mengabaikannya atau mengamalkannya
secara terpilih.
Dalam konteks ini, sikap dan
ciri-ciri ini sebenarnya sentiasa tercabar. Mengapa? Kerana wujudnya nafsu,
kepentingan politik peribadi, kepentingan kuasa dan kebendaan serta kepentingan
sempit agama atau perkauman.
Saya percaya, rakyat pada umumnya
tidak terlalu melampau dalam fahaman agama dan perkauman. Yang sering
mengelirukan atau membesar-besarkannya ialah golongan ahli politik kerana
agenda bermotifkan politik.
Buktinya, ke mana perginya hiruk
pikuk pelaksanaan RUU 355? Ke mana perginya suara pertahan tulisan jawi? Ke
mana hilangnya suara bimbang terhakisnya hak dan Ketuanan Melayu? Tenggelam
suara-suara itu dek perolehan kuasa.
Abaikan fahaman agama,
perkauman sempit
Apa penyelesaiannya? Pada pendapat
saya, oleh kerana ia berunsur politik semata tanpa asas, maka lebih baiklah
diabaikan sahaja dan tumpu kepada perkara yang lebih berasas seperti meneliti
pendekatan memperkasakan mahkamah syariah dalam konteks keadilan dan
keberkesanan pelaksanaannya.
Juga mengambil sudut pendidikan dan
budaya kepada penulisan jawi tanpa perlu mempolitikkannya serta membangkitkan
dasar ekonomi bumiputera yang membela nasib orang Melayu tanpa mengenepikan hak
kaum yang lain atas asas keadilan dan kesaksamaan, bukan atas asas kaum
semata-mata.
Rangka dan laksanakan dasar yang
benar-benar boleh merapatkan jurang atau kesenjangan ekonomi antara kaum dan
wilayah di mana kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat dengan
adil lagi saksama. Ini tidak boleh hanya atas kertas dengan jumlah inisiatif
tertentu tetapi wajar didokongi oleh pemimpin di setiap peringkat sehingga
angka B40 dan T20 berkurangan.
Soal persepsi agama Islam yang sempit
juga wajar ditangani dengan tuntas. Akibat tindakan dan pandangan yang
dikeluarkan oleh segelintir pemimpin Pas terutamanya maka amat malang apabila
Islam dilihat dari kaca mata yang sempit di mana hanya pendapat ulama dan
pemimpin Pas sahaja yang betul, sedangkan yang sewajarnya berlaku ialah rakyat
kembali menghidupkan rasa kemanusiaan dan mengangkat darjat kemanusiaan itu
sebagaimana firman Allah dalam ayat 70 surah Al-Isra’. Tambahan pula, sifat
kesejagatan Islam menolak perkauman seperti firman Allah dalam ayat 13 surah
Al-Hujurat.
Ini bukan sahaja boleh menjawab ciri
perkauman dalam kalangan orang Melayu tetapi juga yang wujud di kalangan orang
Cina, India dan kumpulan etnik lain. Yang dibenci bukan kaum tetapi tindakan
kezaliman, penyelewengan dan penindasan atas nafsu rakus peribadi dan kelompok.
Berdosa rompak, rasuah
Ini termasuklah meletakkan neraca
penilaian yang betul terhadap kesalahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagaimana
Islam menjatuhkan hukuman berdosa dalam kegiatan jenayah merompak, membunuh dan
mencuri, maka amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan wang serta
kedudukan juga dianggap berdosa. Bersekongkol dan bersubahat dengan amalan
serta mereka yang terlibat juga boleh jatuh hukum berdosa.
Jadi janganlah berlindung di sebalik
alasan kononnya amalan rasuah atau penyelewengan itu boleh disucikan apabila
habuan daripadanya disedekahkan kepada anak yatim, masjid dan bakal haji
seperti yang disebutkan dalam kes skandal 1MDB. Salah tetap salah dan pelakunya
wajar menerima hukuman apabila didapati bersalah. Matlamat tidak menghalalkan
cara.
Akhirnya, dalam kita menyambut
kemerdekaan, “Malaysia Prihatin” wajar dizahirkan bukan sahaja dengan semangat
patriotisme dalam usaha memerangi wabak Covid-19 secara bersama tetapi juga
mengangkat kembali imej negara sebagai negara makmur yang inklusif, progresif,
rahmah, berpolitik matang, bersih dan berpaksikan rakyat yang menolak
pengkhianatan, rasuah dan penyelewengan.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen
Ledang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor